Anda di sini

WHO beri amaran COVID-19 akan bertahan lama

Advertisement
 Pejalan kaki yang memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 berjalan melintasi grafiti jalanan yang memuji pekerja Perkhidmatan Kesihatan Negara Britain dan anggota barisan hadapan lain oleh artis Nathan Bowen dan Harry Blakcmore, di London, kelmarin ketika orang ramai mula kembali bekerja selepas sekatan pergerakan untuk membendung wabak COVID-19 dilonggarkan. — Gambar AFP
TERIMA KASIH: Pejalan kaki yang memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 berjalan melintasi grafiti jalanan yang memuji pekerja Perkhidmatan Kesihatan Negara Britain dan anggota barisan hadapan lain oleh artis Nathan Bowen dan Harry Blakcmore, di London, kelmarin ketika orang ramai mula kembali bekerja selepas sekatan pergerakan untuk membendung wabak COVID-19 dilonggarkan. — Gambar AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa COVID-19 mungkin tidak akan lenyap dan populasi perlu belajar untuk hidup dengannya sama seperti mereka telah hidup dengan HIV, ketika jumlah kematian di seluruh dunia akibat penyakit itu menghampiri 300,000.

Ramalan suram turut diterima dari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang menyatakan penutupan berpanjangan untuk mengekang penularan virus itu boleh menyebabkan kerosakan ekonomi yang berkekalan di Amerika.

Washington memburukkan lagi ketegangan berhubung pandemik dengan menuduh China cuba mencuri penyelidikan ke atas vaksin, manakala Presiden AS Donald Trump meningkatkan lagi retorik, dengan ungkapan berwarna-warni yang boleh menimbulkan kemarahan Beijing.

“Kita baharu sahaja meterai perjanjian perdagangan yang hebat, dakwat  belum lagi kering, dan dunia dilanda wabak dari China. 100 perjanjian perdagangan tidak akan mengisi perbezaan – dan semua nyawa tidak bersalah yang hilang!” ciap Trump.

AS mencatatkan lebih 1,800 kematian kelmarin, untuk menjadikan jumlah keseluruhan kepada 84,059 di negara itu.

Presiden itu semakin kerap cuba meletakkan kesalahan ke atas China, di mana COVID-19 pertama kali muncul pada hujung tahun lepas.

Dua agensi keselamatan AS meningkatkan lagi tekanan ke atas Beijing kelmarin dengan menyatakan penggodam China cuba mencuri harta intelek yang ada kaitan dengan rawatan.

“Usaha China untuk me-nyasari sektor ini menimbulkan ancaman yang signifikan kepada respons negara kepada COVID-19,” kata FBI dan Agensi Keselamatan Infrastruktur dan Keselamatan Siber (CISA).

Kedua-dua agensi itu tidak menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Vaksin akan memboleh-kan negara dan ekonomi untuk dibuka semula sepenuhnya daripada sekatan pergerakan dan berpotensi mengaut jutaan dolar bagi penciptanya.

Namun WHO berkata virus itu mungkin tidak akan dapat dibasmi sepenuhnya.

“Virus ini mungkin akan menjadi sekadar satu lagi virus yang endemik dalam masyarakat kita dan virus ini mungkin tidak akan le-nyap,” kata Michael Ryan, selaku pengarah darurat di badan kesihatan dunia itu di Geneva.

“HIV belum lagi lenyap – tetapi kita sudah menerima virus itu.”

Prospek bahawa penyakit itu akan terus wujud bermakna kerajaan di seluruh dunia berdepan dengan usaha yang rumit untuk mengimbangi usaha mengawal patogen itu dengan usaha mengangkat dan melancarkan ekonomi.

Trump telah berusaha untuk menyambung semula kegiatan ekonomi dengan cepat di AS, selalunya ber-tentangan dengan nasihat pegawai kesihatan, dalam usahanya untuk melancarkan semula ekonomi terbesar di dunia sebelum pilihan raya pada November.

Pakar penyakit berjangkit terkemuka Anthony Fauci telah menyatakan pembuka-an semula yang terlalu awal berisiko mencetuskan wabak yang tidak dapat dikawal, tetapi presiden itu kelmarin menolak seruan untuk berhati-hati itu sebagai “tidak dapat diterima”.

Dalam satu petikan temu ramah dengan Fox Business yang disiarkan sepenuhnya semalam, Trump berkata: “Saya sama sekali tidak bersetuju dengannya mengenai sekolah.”

Ketegangan antara kesihatan dengan ekonomi nampak begitu ketara kelmarin apabila Ketua Rizab Persekutuan Jay Powell memberi amaran tentang potensi bagi “gelombang kebankrapan” yang boleh menyebabkan kerosakan yang berkekalan kepada ekonomi terbesar di dunia itu.

Powell, yang telah melancarkan beberapa program penting untuk menyokong pasaran kredit dan menyediakan dana secara langsung kepada syarikat, berkata usaha Rizab Persekutuan ada batasnya.

“Kami dapat memberi pinjaman kepada perniagaan yang mampu membayar balik pinjaman,” kata Po-well, tetapi memberi amaran bahawa “hanya masa sahaja yang diperlukan bagi masalah kecairan untuk bertukar menjadi masalah keupayaan membayar balik.”

Pembukaan semula dite-ruskan dengan bersemangat di Eropah, di mana pegawai kerajaan meneruskan rancangan untuk memulihkan pelancongan musim panas walaupun ada kebimbangan mengenai gelombang jang-kitan kedua.

Dalam usaha yang mendesak untuk menyelamatkan jutaan pekerjaan, Kesatuan Eropah telah mengemuka-kan saranan bagi pelancaran semula perjalanan secara berperingkat-peringkat, di mana kawalan sempadan akan ditarik balik lama-kelamaan, selain langkah untuk meminimumkan penularan.

Beberapa pantai dibuka semula di Perancis kelmarin – tetapi hanya untuk berenang dan mengail ikan – dan rakyat di England dibenarkan untuk meninggalkan rumah mereka dengan lebih bebas.

Namun di Amerika Latin, virus itu terus melonjak, de-ngan peningkatan 60 peratus dalam kadar jangkitan di ibu negara Chile, Santiago, yang mendorong pihak berkuasa untuk melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya di bandar raya tersebut.

Di Argentina, pegawai kerajaan memantau Buenos Aires dengan dekat selepas salah sebuah kawasan kejiranannya yang paling daif dan paling padat dengan manusia menunjukkan pe-ningkatan kes.

Pakar kesihatan telah memberi amaran tentang akibat yang berpotensi menyebabkan kemusnahan apabila virus itu menular dalam dunia membangun, di mana sistem perubatan kekurangan pembiayaan dan kuarantin yang berkesan selalunya tidak dapat dijalankan.

Di utara Nigeria, kebimbangan bahawa virus itu sedang merebak juga telah menyebabkan hospital menutup pintu kepada orang sakit.

Penjawat awam Binta Mohammed berkata dia terpaksa melihat suaminya meninggal dunia kerana “kerumitan kencing manis”.

“Empat hospital swasta enggan menerima kemasukannya kerana bimbang dia ada virus berkenaan,” katanya.

Namun pertarungan ini juga ada titik terang. Mauritius mengisytiharkan kemenangan sementara ke atas virus itu, dan berkata ia mempunyai “sifar” pesakit dan tidak mencatatkan satu pun kes dalam tempoh 17 hari.

Negara pulau Lautan Hindi itu pada mulanya berada jauh di hadapan negara lain di timur Afrika dari segi jumlah kes, dan mencapai kemuncak 332 kes enam minggu selepas wabak itu bermula.

Seramai 10 orang meninggal dunia.

Namun selepas salah satu sekatan pergerakan yang paling ketat di Afrika, negara itu telah berjaya mengubah keadaan.

“Kita telah memenangi pertempuran hasil kerja-sama orang ramai. Namun kita belum lagi memenangi peperangan,” kata Menteri Kesihatan Kailesh Jagut-            pal — AFP

Advertisement