Anda di sini

61 termasuk suami isteri ditahan AADK

Advertisement
 Tahanan diberikan penjarakkan sosial semasa dikumpulkan.
JARAK: Tahanan diberikan penjarakkan sosial semasa dikumpulkan.

KOTA KINABALU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berjaya menahan 61 individu termasuk suami isteri dalam Ops Khas yang dijalankan di seluruh Sabah.

Pengarahnya Abdul Hamediee Ibrahim berkata operasi yang dijalankan bermula 6 hingga 14 Mei ini bertujuan mengesan dan menahan individu yang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Tambahnya operasi yang dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga bagi menghalang, menyekat serta mengurangkan permintaan dadah dalam kalangan pengguna dan penagih dadah.

“Hasil operasi berjaya menahan 61 dari 66 individu yang diperiksa termasuk 58 lelaki dan tiga wanita berumur 17 hingga 61 tahun.

“Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Menurutnya antara yang ditahan adalah suami isteri yang bekerja sebagai pekerja am dan mekanik serta bekas pelajar yang berhenti sekolah awal pada usia 14 tahun.

“Kebanyakkan alasan yang diterima adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya serta rakan sekitarnya manakala tangkapan membabitkan buruh kasar atau golongan yang bekerja di sekor yang berat memberikan alasan menagih dadah agar dapat bertahan lama dalam melakukan kerja mereka.

“Statistik juga menunjukkan bahawa AADK Sabah berjaya menahan keseluruhan 351 tangkapan sejak awal tahun sehingga semalam dengan membabitkan hampir keseluruhan menagih dadah jenis syabu dan hanya satu kes membabitkan pengambilan ganja,” katanya.

Tambahnya statistik direkodkan AADK juga menunjukkan peningkatan kes dari semasa ke semasa.

“Mujurlah ahli keluarga serta orang awam menyalurkan maklumat dan untuk makluman kesemua tangkapan juga dijalankan berdasarkan aduan orang awam.

“Setakat ini kita menerima sejumlah 73 aduan yang dibuat melalui talian serta hotline AADK dan daripada jumlah itu kita sudah menyelesaikan 54 aduan manakala selebihnya sedang dalam penyiasatan,” katanya.

Tambahnya sepanjang operasi dijalankan pihaknya mengutamakan pematuhan kepada Prosedur Standard Operasi (SOP) dan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan terutamanya dari segi pencegahan COVID-19.

“Kita mendapatkan bantuan pemeriksaan daripada Jabatan Kesihatan Malaysia dan Hospital di setiap daerah untuk menjalankan saringan kesihatan terhadap individu ditahan dan sebaik selesainya saringan baharu kita akan melaksanakan penahanan reman.

“Kita juga mendapat bantuan daripada pihak RELA di Labuan dan sepanjang operasi dijalankan anggota kita juga memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya juga mengambil berat dengan Orang Kena Pengawasan (OKP) dengan menghubungi mereka pada masa-masa tertentu bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan pengambilan dadah semula.

“Kita juga bekerjasama dengan beberapa pihak tertentu bagi mengendalikan urusan termasuk bantuan menguruskan BPN, menghubungi keluarga mereka, memberikan bantuan perseorangan berupa bantuan keperluan asas dan sebagainya,” katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement