Anda di sini

Gelombang kedua COVID-19 lebih merbahaya

Advertisement
 

KERAJAAN Malaysia telah melonggarkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan bersyarat atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai pada 4 Mei.

Bagi yang sudah hilang mata pencarian semenjak PKP bermula, PKPB adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Dengan PKPB, beberapa sektor ekonomi dibuka semula secara terkawal. Sebahagian besar dari aktiviti ekonomi dan sosial telah dibenarkan kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan Covid-19 yang masih tidak dibenarkan.

 Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengkritik bahawa tindakan buka semula ekonomi agak tergesa-gesa, patut ambil lebih masa.
KRTIKAN: Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengkritik bahawa tindakan buka semula ekonomi agak tergesa-gesa, patut ambil lebih masa.

Bagaimanapun semua operasi yang dibenarkan tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Kebanyakan yang dilarang ialah membabitkan perhimpunan ramai orang seperti acara keagamaan di rumah ibadat, konsert, acara sukan, sekolah dan universiti.

Suka atau tidak PKPB mendapat perhatian dan keraguan dan kita diingatkan bahawa gelombang kedua COVID-19 mungkin tidak dapat dielakkan dan lebih mencabar serta menganggu corak perniagaan dan masyarakat.

 Gelombang kedua COVID-19 lebih merbahaya.
GELOMBANG KEDUA: Gelombang kedua COVID-19 lebih merbahaya.

Kita kuatir PKPB ini boleh memberi kesan negatif kepada petugas penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan, yang kebanyakannya telah menghadapi tekanan sejak lapan minggu yang lepas.

Tidak boleh dinafikan, kepentingan ekonomi negara pun harus diambil berat oleh kerajaan. Namun tiada salahnya kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksana kebenaran operasi secara berperingkat.

Tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi kebenaran untuk sektor ekonomi beroperasi pada kapasiti penuh dilihat tidak membantu usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, malah meningkatkan lagi risiko yang sedia ada.

 Kelihatan jalan raya di Korea selatan apabila negara dikejutkan oleh gelombang kedua yang membunuh.
BEBAS: Kelihatan jalan raya di Korea selatan apabila negara dikejutkan oleh gelombang kedua yang membunuh.

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengkritik bahawa tindakan buka semula ekonomi agak tergesa-gesa, patut ambil lebih masa.

Beliau berpendapat langkah kerajaan umumkan PKPB dilihat sebagai tindakan yang gopoh dan bukan bersifat ‘soft-landing’ kerana 'exit strategy' belum sempat dihayati dan difahami oleh rakyat.

PKPB yang berkuat kuasa sehingga 12 Mei disambung selama empat minggu lagi walaupun negara sudah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi COVID-19 kerana masih ada langkah-langkah perlu diambil kerajaan untuk memerangi Covid-19.

Namun, dengan PKPB kita bimbang pencapaian ini akan gagal jika kita tidak senantiasa memastikan rakyat cukup bersedia untuk melindungi diri, keluarga, tempat kerja dan masyarakat dengan kaeda kebiasaan baru. Kita telah lihat negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan kini bergelut dengan gelombang kedua disebabkan kerajaan berpuas hati dengan menganggap bahawa mereka dapat mengendalikan dengan baik gelombang yang pertama.

Sepatutnya, sekiranya wabak COVID-19 masih ada dalam kalangan masyarakat, PKP ini tidak boleh dihentikan kerana bimbang akan wujud gelombang kedua COVID-19 yang lebih merbahaya.

 Selepas Kerajaan Malaysia melonggarkan sekatan PKP di seluruh negara inilah keadaan di jalan raya di Pulau Pinang yang kita bimbang akan menjadi gelombang kedua COVID-19.
SESAK: Selepas Kerajaan Malaysia melonggarkan sekatan PKP di seluruh negara inilah keadaan di jalan raya di Pulau Pinang yang kita bimbang akan menjadi gelombang kedua COVID-19.

Kita sedia maklum, kerajaan di seluruh dunia bergantung kepada unjuran matematik untuk membantu membuat keputusan dalam pandemik ini.

Dalam banyak keadaan, ahli ekonomi dan ahli epidemiologi  bersetuju berdasarkan model berasaskan data bahawa pendekatan secara berperingkat untuk mengurangkan sekatan adalah yang terbaik untuk perniagaan dan kesihatan.

Adalah munasabah kerajaan Malaysia menggunakan lebih banyak data, model dan malah algoritma berasaskan AI untuk memaklumkan dan membantu membuat keputusan mereka, berbanding pendapat yang subjektif daripada individu yang mungkin tidak memahami sepenuhnya kesukaran kesihatan awam jangka pendek dan jangka panjang serta pemboleh ubah ekonomi yang terlibat.

Cara sedemikian boleh membantu organisasi  mengenal pasti jurang dan kekuatan mereka terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik. Ia juga membantu mereka memantau dan meningkatkan kemajuan mereka dari semasa ke semasa dalam menguruskan sumber yang terhad dengan berkesan.

Kerajaan perlu mengimbangi campur tangan jangka pendek PKP dan impak jangka sederhana yang timbul dari tempoh kuarantin selama lebih lapan minggu.

Ia harus menjadikan situasi gelombang kedua penularan COVID-19 di Hokkaido, Jepun sebagai iktibar dan berjaga jaga secara serius selepas  membuka semula sektor ekonomi dan sosial di negara ini.

Kita tidak mahu keadaan di Hokkaido berlaku di Malaysia di mana dua minggu lalu pulau di utara Jepun dilanda gelombang kedua dengan 135 jangkitan COVID-19 dalam tempoh seminggu walau pun kerajaan yakin gelombang kedua tidak akan bercetus.  

Difahamkan Hokkaido menamatkan perintah berkurung selama tiga minggu apabila kes jangkitan berkurang kepada satu angka bagi membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi namun kini darurat kecemasan terpaksa diisytiharkan semula.

Usaha menggerakkan semula sektor ekonomi dan sosial seperti yang diumumkan kerajaan adalah baik dan penting juga tetapi kita kena berhati-hati supaya kita tidak tersalah langkah. Jangan kita bersikap pentingkan diri kerana kita fikir sihat tetapi tanpa sedar kita pembawa kepada virus COVID-19.

Ramai sangkakan jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia telah berakhir setelah 22 orang pesakit yang disahkan positif virus sembuh.

Namun, baru-baru ini, kita dikejutkan dengan lambakan kes positif sehingga mencecah hampir 100 kes positif.Gelombang kedua COVID 19  kelihatan sudah ujut dan  lebih agresif berbanding dengan yang pertama.

Sebagai rakyat yang bertanggung, untuk membaiki pandemik di Malaysia, baiklah kita teruskan prihatin dengan mengamal perkara-perkara berikut.

Lakukan saringan - sila datang dan membuat saringan kesihatan secara percuma di pusat kesihatan jika perlu. Bantulah kerajaan dengan tampil secara sukarela dan menjalani pemeriksaan saringan yang ditetapkan terutama kepada mereka yang pergi ke perhimpunan  beramai ramai

Kuarantin diri - sekiranya anda baru pulang daripada mana-mana negara terutamanya China, Korea Selatan, Itali, Jepun dan Iran, anda dinasihatkan untuk melaporkan kepada pusat kesihatan dan melakukan kuarantin diri selama 14 hari berturut-turut.

 Kita tidak mahu keadaan di Hokkaido berlaku di Malaysia di mana dua minggu lalu pulau di utara Jepun dilanda gelombang kedua dengan 135 jangkitan COVID-19 dalam tempoh seminggu walau pun kerajaan yakin gelombang kedua tidak akan bercetus.
WASPADA: Kita tidak mahu keadaan di Hokkaido berlaku di Malaysia di mana dua minggu lalu pulau di utara Jepun dilanda gelombang kedua dengan 135 jangkitan COVID-19 dalam tempoh seminggu walau pun kerajaan yakin gelombang kedua tidak akan bercetus.

Sentiasa memakai pelitup muka apabila di luar rumah; kekal berada di dalam rumah di mana dengan kekal berada di rumah dapat menghindarkan diri kita daripada dijangkiti virus COVID-19; tingkatkan kebersihan diri dan kawasan rumah; jaga jarak 1-2 meter. Sekiranya memerlukan anda untuk keluar seperti membeli barang atau ke tempat kerja atas urusan yang tidak dapat dielakkan, pastikan anda menjaga jarak satu meter supaya tidak bersentuhan.

Kerajaan sudah memainkan peranan mereka untuk membasmi virus COVID-19 dengan seriusnya, maka kita harus menyokong usaha pemerintah untuk memulihkan keadaan supaya boleh kembali kepada sedia kala.

Advertisement