Anda di sini

Sarawak rekod sifar kes positif COVID-19 dua hari berturut-turut

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak mencatatkan sifar kes positif COVID-19  dua hari berturut-turut apabila hari ini dan semalam tiada kes dilaporkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata pada hari ini juga enam kes sembuh dan discaj dari hospital.

"Daripada pada enam kes tersebut empat dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes masing-masing dari Hospital Sibu dan Hospital Miri. Jumlah keseluruhan yang sembuh setakat ini 375 iaitu 96.06 peratus daripada 543 keseluruhan kes di Sarawak.

"Ketika ini juga, 150 kes sedang dirawat di hospital daripada jumlah itu, satu kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes lagi memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian COVID-19 di Sarawak di sini hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata bilangan orang disyaki (PUI) di Sarawak hari ini pula 94 kes manakala PUI yang masih menunggu keputusan sebanyak 23 kes.

Beliau turut memberitahu Limbang pada hari ini bertukar status dari Zon Kuning kepada Zon Hijau setelah tiada kes positif COVID-19 baharu direkodkan di bahagian itu dalam tempoh 14 hari. Ini menjadikan Zon Hijau di Sarawak hari ini bertambah menjadi 33 kawasan. 

Zon Kuning pula enam, manakala Kuching kekal sebagai Zon Merah tunggal.

  • oleh
  • Advertisement