Anda di sini

Tentera, polis tetap bertugas pada musim perayaan

Advertisement
 Johnny (kanan) bersama Zulkipli (kiri) bercakap kepada media semasa meninjau sekatan jalan raya di Jalan Sebiew sebelum berbuka puasa bersama.
TINJAU: Johnny (kanan) bersama Zulkipli (kiri) bercakap kepada media semasa meninjau sekatan jalan raya di Jalan Sebiew sebelum berbuka puasa bersama.

BINTULU: Anggota tentera dan polis tetap bertugas sama ada pada musim perayaan atau hari biasa apabila diperlukan ter-utama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dikuatkuasakan bagi membendung wabak COVID-19.

Panglima Briged Ke-31 Infantri Brigedier Jeneral Datuk Johnny Lim berkata secara lazimnya anggota tentera bertugas tidak kira di mana dan masa termasuk musim perayaan.

Begitupun, penugasan semasa PKP ini mengikut prosedur baharu dan sekarang ini anggota tentera tiada masalah melaksanakan tugas diarahkan sejak 22 Mac lalu.

“Sebagai anggota tentera ketika ini rakan seperjuangan juga bertugas di sempadan, perbatasan dan perairan demi menjaga keselamatan negara,” katanya kepada media semasa meninjau sekatan jalan raya di Jalan Sebiew dan berbuka puasa bersama anggota tentera dan polis termasuk anggota Jabatan Suka-relawan Malaysia (RELA) di sini petang kelmarin.

Tinjauan itu turut disertai Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili serta pegawai-pegawai kanan tentera dan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Beliau berkata, anggota tentera dan polis melaksanakan penguatkuasaan PKP menunjukkan prestasi atau mutu disiplin dan dedikasi baik semasa diperlukan.

Justeru, beliau menyeru semua anggota tentera dan polis  meneruskan perjuangan mereka dengan mengikut arahan membantu kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.

“Saya turut menyeru sempena Ramadan ini, anggota tentera dan polis terus berdedikasi dan memantapkan profesionalisme seperti dipamerkan sejak PKP dilaksanakan Mac lalu,” katanya.

Mengenai penugasan di Bintulu, katanya penugasan di sini tetap sama dengan diperkuatkan 49 anggota tentera bersama polis setiap hari.

“Kami mempunyai kitaran tugasan mengikut jadual supaya mendapat rehat cukup dan prosedur sebelum diaturgerakkan, anggota bertugas sebelum dan selepas bertugas juga perlu melakukan nyah kuman dan menjaga kesihatan diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan di sini yang yakin dengan kehadiran dan kerjasama polis dan tentera.

Katanya, penduduk melihat sendiri kesan penugasan pihaknya dalam PKP ini sejak PKP fasa satu hingga sekarang bekerjasama membendung dan mengatasi wabak COVID-19 ini.

“Saya berada di sini bersama anggota pada bulan ini termasuk disertai Ketua Polis Daerah dapat berbuka puasa bersama di tempat bertugas.

“Nasihat saya kepada orang ramai seperti ditekankan ‘stay at home’, duduk di rumah dan hanya keluar rumah sekiranya perlu atau bekerja kerana ini menyenangkan penugasan kami bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement