Anda di sini

PSB mempersoal tindakan kerajaan Sarawak setuju dengan bayaran RM2 bilion Petronas

Advertisement
 

KUCHING: Parti Parti Sarawak Bersatu (PSB) mempersoalkan tindakan kerajaan Sarawak yang bersetuju menerima pembayaran RM2 bilion daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi cukai jualan produk petroleum lima peratus menerusi penyelesaian luar mahkamah.

Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh (gambar) menegaskan, beliau dalam kenyataan akhbar sebelum ini pernah mengatakan belanjawan kerajaan Sarawak untuk 2019 dibuat berdasarkan hasil pendapatan daripada cukai minyak dan gas berjumlah RM3.897 bilion yang tidak terlaksana.

Katanya, untuk 2020 pula, kerajaan Sarawak menyediakan belanjawannya berdasarkan hasil pendapatan yang dijangkakan sebanyak RM2.878 bilion dari cukai minyak dan gas sebanyak lima peratus yang juga tidak terlaksana.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, cukai minyak dan gas yang dijangkakan bagi tempoh dua tahun itu adalah berjumlah RM6.775 bilion.

"Sekarang kita dapati bahawa kerajaan Sarawak terpaksa berpuas hati dengan jumlah yang telah dikurangkan dengan ketara sebanyak RM2 bilion sahaja dan bukannya RM6.775 bilion. 

"Ia bermakna kekurangan sebanyak RM4.775 bilion dalam pendapatan yang dijangkakan di dalam belanjawan bagi dua tahun tersebut.

"Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri mesti menjelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan akan menampung defisit belanjawan untuk 2019 dan 2020 ekoran penurunan besar dalam pendapatan (RM2 bilion) berbanding apa yang mereka jangkakan (RM6.775 billion)," katanya dalam kenyataan semalam. 

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada berita tentang penyelesaian yang dicapai oleh kerajaan negeri Sarawak dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) seperti yang dilaporkan di dalam Borneo Post Online semalam. 

Kata Soon Koh, menurut laporan berita itu, kerajaan negeri Sarawak dan Petronas mengeluarkan satu kenyataan bersama bahawa Petronas telah bersetuju untuk membayar RM2 bilion kepada kerajaan negeri Sarawak bagi cukai jualan 5 peratus ke atas minyak dan gas dalam satu penyelesaian luar mahkamah. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah sebanyak RM4.775 bilion mesti datang dari sumber tertentu untuk menampung kekurangan dan semua pihak mesti dimaklumkan tentang sumber tersebut.

Tambahnya lagi, kerajaan Sarawak seterusnya juga bersetuju untuk mengurangkan cukai jualan lima peratus secara berperingkat-peringkat.

"Pada waktu yang sama, terma penyelesaian menyebut tentang pengurangan kepada cukai minyak dan gas sebanyak lima  peratus 'secara berperingkat-peringkat'.

"Jadi, kita berhak untuk tahu berapa banyak cukai jualan yang akan dikurangkan dan dalam tempoh berapa lama. Selepas memenangi kes itu, kenapakah kerajaan negeri menyetujui konsesi ini yang memihak kepada Petronas," soalnya lagi. 

Soon Koh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan turut mempersoalkan tindakan kerajaan memilih untuk bersetuju memberi diskaun yang begitu tinggi sebanyak RM4.775 bilion ke atas cukai jualan walaupun sudah memenangi kes itu di Mahkamah Tinggi.

Tegasnya, adakah Ketua Peguam Negeri sudah menasihati kerajaan bahawa ia adalah kes yang lemah dan tidak dapat mengambil risiko di Mahkamah Rayuan. 

"Apa yang jauh lebih mengejutkan ialah bahagian terakhir bagi penyelesaian itu di mana kerajaan negeri berkata 'semua perjanjian sebelum ini di antara kedua-dua pihak yang dimeterai di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) adalah masih sah dan boleh dilaksanakan dan Petronas masih diiktiraf sebagai mempunyai pemilikan penuh dan kuasa ke atas pembangunan minyak dan gas negara, selari dengan Perlembagaan Persekutuan', " jelasnya. 

Menurutnya lagi, jika kenyataan itu betul, maka kerajaan Sarawak sudah melepaskan haknya untuk mencabar Akta Pembangunan Petroleum (Akta 144) walaupun kerajaan GPS telah menegaskan PDA adalah tidak sah ketika kerajaan  Pakatan Harapan memegang kuasa.

Pada masa sama, beliau berkata, memandangkan perikatan GPS adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional, adakah ia sudah menamatkan perjuangan bagi hak Sarawak untuk mencabar PDA. 

"Ia adalah wajar diambil kira bahawa parti-parti (dalam) GPS sangat senyap tentang perjuangan untuk memulihkan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 sejak mereka menyertai kerajaan Perikatan Nasional," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement