Anda di sini

Cekik dan tumbuk isteri, lelaki dipenjara 15 bulan

Advertisement
Shafiee (dua kanan) dan Iqmal (tiga kanan) dihukum penjara kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Shafiee (dua kanan) dan Iqmal (kanan) dihukum penjara kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini apabila mengaku bersalah atas tuduhan mencekik serta menumbuk muka isteri kerana enggan memberinya wang.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Mohd Syukri Mokhtar selepas Muhammad Shafiee Abdilloh @ Abd. Pani, 31, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibaca.

"Setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam, mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara 15 bulan mulai dari tarikh dia di tangkap iaitu pada 4 Mei lalu," ujar beliau semasa prosiding. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berang apabila isterinya berusia 29 tahun itu memberitahu tidak mempunyai wang dan dia seterusnya bertindak mencekik leher dan menumbuk kedua-dua mata isterinya. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 2 Mei lalu, jam 12 tengah hari di kediaman mereka di Kampung Goebilt, Jalan Bako. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu telah melakukan kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya dan kemudian didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan, Asisten Superintenden Rogayah Rosli memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk memberikan pengajaran kepada orang awam, selain mengelakkan daripada mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu dalam satu kes berasingan di Mahkamah Sesyen, seorang pemuda berusia 23 tahun dipenjara setahun dan dikenakan dua sebatan kerana melakukan kesalahan mencederakan bapanya pada 6 Mac lalu. 

Mohammad Iqmal Bin Lai, mengaku bersalah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Marutin Pagan. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mencederakan bapanya, Lai Gagang, 66, dengan menggunakan sebilah pisau pada jam 1.30 petang di rumah mereka di Kampung Sejingkat Hilir, Jalan Bako.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement