Anda di sini

Pemegang Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh dibenarkan meninggalkan Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Semua warganegara asing serta warga Semenanjung dan Sabah yang menggunakan Pas Lawatan Sosial dan telah tinggal lebih masa mulai 1 Januari 2020 sehingga 14 hari bekerja selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk meninggalkan Sarawak tanpa perlu pergi ke Pejabat Imigresen bagi tujuan pelanjutan pas.

Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datu Ken Leben (gambar) berkata, sekiranya pemegang pas tersebut mahu tinggal sementara di Sarawak atas sebab yang tidak dapat dielakkan, mereka boleh memohon lanjutan pas.

Namun menurutnya, keadaan ini hanya terpakai bagi mereka yang menggunakan Pas Lawatan Sosial (Pelancong) dan telah tinggal lebih masa mulai 1 Februari 2020 sehingga 14 hari bekerja selepas tamat tempoh PKPB.

“Lanjutan pas untuk pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang telah tinggal lebih masa di Sarawak iaitu mulai 1 Februari 2020 sehingga arahan PKPB ditamatkan pula boleh dibuat di Pejabat Imigresen setelah mendapat tarikh temu janji yang dibuat secara dalam talian,” jelas beliau menerusi satu kenyataan pada 6 Mei. 

Jelasnya, semua temu janji untuk perkhidmatan kaunter Imigresen di Bahagian Visa, Pas dan Permit, Bahagian Ekspatariat dan Bahagian Pekerja Asing adalah wajib menggunakan Sistem Temu Janji Online (STO) di pautan www.sto.imi.gov.my boleh diakses mulai 8 Mei.

“Sementara itu, urusan di Bahagian Keselamatan dan Pasport tidak memerlukan temu janji dan orang awam boleh datang terus ke kaunter Imigresen tertakluk kepada Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020,” katanya.

Ken berkata, hanya pelanggan yang mempunyai temu janji sahaja dibenarkan hadir berurusan dan hanya urusan permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) sahaja yang tidak memerlukan temu janji.

Dalam pada itu, perkhidmatan kaunter Imigresen di UTC Kuching, Sibu dan Miri akan mula beroperasi mulai 12 Mei 2020, tertakluk kepada arahan semasa daripada Kementerian Kewangan.

Jelas kenyataan itu juga, semua orang awam yang hadir ke Pejabat Imigresen akan melalui imbasan suhu badan (tidak melebihi 37.5 darjah celsius) dan wajib menggunakan penutup hidung dan mulut sepanjang berurusan dengan pegawai yang bertugas. 

“Amalan jarak satu meter hendaklah dipatuhi dan penggunaan pensanitasi tangan yang kerap adalah digalakkan semasa berurusan dengan pegawai Imigresen. 

“Pensanitasi tangan disediakan di semua pintu masuk utama bangunan dan pejabat Imigresen,” ujar kenyataan itu lagi.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk melayari portal rasmi www.imi.gov.my dan Facebook Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapat maklumat lanjut tentang tatacara mendapatkan temu janji berurusan di Pejabat Imigresen Malaysia. 

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Hotline 03-88882010 dan Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak 082-429437.
 

  • oleh
  • Advertisement