Anda di sini

Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak diyakini mampu memainkan peranan efektif tangani masalah ekonomi

Advertisement
 

KUCHING: Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) yakin Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (MTES) mampu memberikan input, perincian tepat dan menyeluruh selain memainkan peranan efektif dalam menangani permasalahan ekonomi yang merudum ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden DEKOMS Bujang Boji Sitam (gambar) berkata, pelan tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai langkah terkini yang amat diperlukan negeri berikutan ia komprehensif dalam ruang-lingkup pemulihan segera sektor ekonomi.

Jelasnya, MTES yang dianggotai oleh profesional ekonomi, pakar sektor perdagangan dan pemain industri peniagaan itu akan membawa keyakinan yang lebih besar dalam kalangan pelabur dalam dan luar negara.

“Sembilan strategi utama untuk tempoh sepuluh tahun bagi sembilan sektor penting yang akan dikembangkan berdasarkan dua prinsip iaitu ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar, akan mampu mempercepatkan pemulihan dan mengembalikan kerancakan sektor perniagaan dan perdagangan,” jelas beliau menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Sarawak juga maju ke hadapan mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dalam merangka dan melaksanakan strategi yang ampuh, konkrit dan terarah bagi menangani permasalahan ekonomi.

“Justeru, DEKOMS mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri menjemput semua pemain industri termasuk wakil dewan ekonomi dan perdagangan untuk menganggotai MTES. 

“Langkah tersebut membolehkan kerajaan mendapatkan input yang jelas, terkini dan makro dalam memastikan pemulihan dan peningkatan sektor ekonomi ke arah yang lebih menyeluruh dan merata, khususnya membabitkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” jelas Bujang lagi.

Dalam pada itu, DEKOMS juga mencadangkan supaya pelan tindakan pemulihan ekonomi turut mengambil kira usaha melestarikan sektor latihan, pembangunan modal insan, sumber manusia dan peningkatan peluang pekerjaan di semua sektor ekonomi yang terjejas teruk sekarang.

Jelasnya, DEKOMS bimbang dengan kemungkinan banyak peneraju industri mengambil tindakan mudah dengan memberhentikan ramai pekerja dan perkara ini menurutnya, boleh mewujudkan kecacatan yang nyata dalam usaha Kerajaan Negeri memulihkan ekonomi.
 

  • oleh
  • Advertisement