Anda di sini

KPPK terus berusaha pastikan pembangunan sosioekonomi pekebun kecil lada terjamin

Advertisement
 Willie berbual dengan pemilik kebun lada, Betis Siman di Kampung Jambu, Padawan sambil disaksikan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia Stanley Liew (tengah).
BINCANG: Willie berbual dengan pemilik kebun lada, Betis Siman di Kampung Jambu, Padawan sambil disaksikan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia Stanley Liew (tengah).

KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha memastikan pembangunan sosioekonomi lebih 34,701 pekebun kecil lada dengan kawasan penanaman lada seluas 7,375 hektar di seluruh negara terjamin.

Timbalan Menterinya Willie Mongin berkata, usaha itu dibuat memandangkan sektor lada adalah pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan negara terutama masyarakat luar bandar.

“Dalam hal ini, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM16.11 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN 2020 bagi 5,370 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 30,000 pekebun kecil lada yang layak.

“Pemberian bantuan input pertanian ini bertujuan membantu pekebun kecil lada menyelenggarakan kebun yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan,” katanya.

Oleh itu, tambah beliau, kementerian berharap semua aktiviti sektor lada akan dilaksanakan dengan teratur dan selamat dengan mengambil kira aspek norma baharu yang disarankan kerajaan.

Beliau berkata demikian semasa program lawatan kerja dan meninjau tahap pematuhan pekebun kecil lada semasa PKP di kawasan Puncak Borneo, Padawan di sini, semalam.

Pada lawatan kerja itu, Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo turut mengambil peluang mendengar permasalahan dan isu yang dihadapi pekebun kecil lada.

Sementara itu, menurut kenyataan media KPPK semalam, penularan wabak COVID-19 dan PKP telah memberi kesan secara tidak langsung kepada sektor lada, terutama untuk aktiviti eksport dan penjualan lada.

“Disebabkan itu aktiviti jual beli adalah terbatas dengan pekebun hanya dapat menjual lada kepada jiran dan kepada peraih yang berdekatan kawasan mereka sahaja.

“Manakala eksport lada juga terjejas akibat aktiviti penggredan dan pemprosesan lada untuk tujuan eksport oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Advertisement