Anda di sini

Hampir 1,500 pelajar IPT Zon Sarawak dihantar pulang

Advertisement
Proses penghantaran pulang pelajar IPT dibuat secara berperingkat sejak 30 April lepas.
Proses penghantaran pulang pelajar IPT dibuat secara berperingkat sejak 30 April lepas.

KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,495 pelajar dihantar pulang menerusi program penghantaran pulang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon Sarawak yang dikoordinasi oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

UNIMAS menerusi satu kenyataan berkata, proses penghantaran pulang pelajar IPT ini dibuat secara berperingkat sejak 30 April lepas dan memerlukan penyelarasan yang padu kerana melibatkan semua pelajar seluruh Sarawak. 

Jelasnya, pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak melibatkan pelajar-pelajar dari IPTA dan IPTS yang terdapat di Sarawak dan terkandas di kolej-kolej di IPT masing-masing semenjak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan pada pertengahan bulan Mac lepas.

Pemeriksaan ke atas seorang pelajar oleh pegawai bertugas.
Pemeriksaan ke atas seorang pelajar oleh pegawai bertugas.

“Bagi UNIMAS sendiri, jumlah pelajar tempatan yang menetap sejak PKP dilaksanakan adalah lebih kurang 3,800 pelajar yang menetap di kampus dan luar kampus. 

“Bagi pelajar-pelajar di luar kampus yakni mereka yang menyewa rumah-rumah sekitar luar UNIMAS, kebajikan mereka juga tidak akan diabaikan,” ujar kenyataan tersebut pada hari ini.

Menurutnya, UNIMAS akan melakukan perancangan rapi dari masa ke masa dengan mematuhi penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama apabila ia melibatkan pelajar yang berada di zon merah.

Para pelajar bersedia mendaftar masuk untuk berlepas dengan menaiki pesawat.
Para pelajar bersedia mendaftar masuk untuk berlepas dengan menaiki pesawat.

Dalam pada itu ia berkata, seramai 722 pelajar IPT Zon Sarawak dihantar pulang melibatkan tiga penerbangan Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala-Lumpur (KLIA) kelmarin.

“Pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak yang dihantar pulang pada 6 Mei lalu melibatkan pelajar dari UNIMAS, UiTM cawangan Sarawak, Politeknik Kuching, Politeknik Betong, UCSI dan Swinburne,” ujarnya lagi.

Pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak juga akan menjalani saringan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyertai program penghantaran pulang berkenaan.

Pelajar bersedia untuk dibawa menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.
Pelajar bersedia untuk dibawa menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.
Advertisement