Anda di sini

APMM pastikan perairan negara tidak diceroboh

Advertisement
 Gambar yang tular di aplikasi WhatsApp oleh netizen mendakwa terdapat kegiatan menangkap ikan di perairan Miri oleh bot nelayan asing.
MELAMPAU: Gambar yang tular di aplikasi WhatsApp oleh netizen mendakwa terdapat kegiatan menangkap ikan di perairan Miri oleh bot nelayan asing.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengarahkan anggota dan asetnya melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pencerobohan bot nelayan asing di sepanjang perairan Miri.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten (M) Md Fauzi Othman ketika dihubungi Utusan Borneo semalam mengesahkan bahawa pihaknya bertindak demikian setelah menerima laporan daripada orang awam di media sosial.

“Saya tidak dapat mengesahkan betul atau tidak akan kejadian tersebut (pencerobohan bot nelayan asing) berlaku di perairan Miri seperti yang didakwa.

“Bagaimanapun pihak APMM sentiasa peka pada setiap laporan lengkap yang disalurkan kepada kami.

“Saya telah arahkan bot APMM ke sana (perairan Miri) bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Md Fauzi berharap pengadu yang membuat laporan kepada APMM memberikan lokasi kejadian seperti latitud dan longitud bagi memudahkan aset APMM pergi ke kawasan tersebut.

Sebarang aduan dan maklum balas, orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204.

Advertisement