Anda di sini

Saring besar-besaran petugas kesihatan HUS untuk kesan COVID-19

Advertisement
Dr Chin pada sidang media hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Dr Chin pada sidang media hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Penyaringan secara besar-besaran COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) giat dijalankan bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata, hasil daripada pemeriksaan atau saringan berkenaan, mereka dapat mengenal pasti kes melibatkan petugas kesihatan di HUS.

Beliau berkata, misalnya hari ini, daripada 11 kes positif COVID-19 dicatatkan di Sarawak, lapan merupakan petugas kesihatan yang terdiri daripada tujuh dari HUS sementara seorang dari Jabatan Kesihatan Bahagian Samarahan.

"Ini adalah hasil daripada penyaringan massa yang kita kendalikan bersama kakitangan perubatan dan kita telah mengenal pasti semua kes ini.

"Hasil daripada tinjauan kita, kebanyakan kes di HUS adalah tidak bergejala, maka kita perlu mengendalikan penyaringan massa ini dan pemeriksaan besar-besaran ini memungkinkan kita menangani kes-kes tersebut," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya hampir mencapai semua kakitangan berkaitan untuk menjalani pemeriksaan saringan terbabit dan diharapkan ia mampu memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan petugas di HUS.

Dr Chin berkata, bagi petugas yang didapati positif, mereka terus dirawat sementara kontak kepada mereka terus giat dikesan.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Timbalan Ketua Menteri juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu Sarawak hari ini mencatatkan 11 lagi kes positif COVID-19.

Beliau berkata daripada 11 kes berkenaan, lapan adalah kes melibatkan kluster petugas kesihatan.

Mengenai perkara lain, Uggah berkata, sehingga kini Sarawak masih lagi tidak membenarkan pergerakan merentasi daerah ke daerah dan negeri ke negeri seperti sebelumnya.

Beliau berkata, bagi mereka yang mahu berbuat demikian mereka masih perlu mendapatkan surat atau permit daripada polis.

"Mungkin anda lihat sekatan jalan raya berkurangan di bandar raya Kuching tetapi operasi sekatan masih lagi giat dijalankan terutamanya antara zon merah ke kawasan lain.

"Begitu juga waktu operasi bagi premis perniagaan, kita masih tiada perubahan, iaitu masih dari jam 7 pagi hingga 7 malam..kita tidak mahu mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat kita," katanya.

  • oleh
  • Advertisement