Anda di sini

Peniaga cari alternatif perniagaan lain untuk kelangsungan hidup sepanjang PKP

Advertisement
 

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berikutan penularan pandemik COVID-19 banyak mengubah norma kehidupan rakyat dari pelbagai peringkat.

Golongan bekerja sendiri khususnya yang menjalankan perniagaan antara yang terjejas dan terpaksa mencari usaha lain demi meneruskan kelangsungan hidup.

NAQIB
NAQIB

Lazimnya apabila tiba bulan Ramadan, perniagaan di bazar Ramadan antara yang menjadi tumpuan masyarakat dan para peniaga mampu meraih keuntungan besar dari hasil jualan bazar Ramadan.

Lain kisahnya tahun ini, ramai dalam kalangan peniaga terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan mata pencarian bagi menampung perbelanjaan hidup.

KHAIRUL
KHAIRUL

Bagi peniaga seperti Mohd Naqib Syamimie Ag Bakar, pengalaman memulakan perniagaan secara atas talian (online) tiga tahun lepas banyak membantu dalam meneruskan kelangsungan hidup sepanjang PKP dilaksanakan.

"Sebelum ini, saya juga  membuat pengiklanan secara atas talian dan ini secara tidak langsung membantu saya menjalankan perniagaan baharu pada musim PKP ini.

 Salah seorang pelanggan gembira dapat membeli produk jualan di premis berkenaan.
PELANGGAN: Salah seorang pelanggan gembira dapat membeli produk jualan di premis berkenaan.

"Sejak PKP dilaksanakan, saya mula menjalankan perniagaan menjual ikan mentah, sayur, pisang goreng, dan memasuki bulan Ramadan saya turut menjual jus buah buahan serta kuih-muih.

"Perniagaan seperti ini tidak pernah saya lakukan sebelum ini dan PKP menyebabkan saya mencuba jualan baharu.

 Jualan berbuka puasa turut dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran tunai ke rumah pelanggan.
COD: Jualan berbuka puasa turut dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran tunai ke rumah pelanggan.

"Walaupun banyak kekangan yang perlu dihadapi, namun saya perlu meneruskan usaha memandangkan ada komitmen bulanan selain saya memang bekerja sendiri," katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau berkata, tidak semua bahan mentah senang diperolehi semasa musim PKP dan itu juga antara cabaran dan kekangan utama yang perlu dihadapinya.

 Sebahagian jualan berbuka puasa yang disediakan Naqib dan rakan-rakannya.
KUIH-MUIH: Sebahagian jualan berbuka puasa yang disediakan Naqib dan rakan-rakannya.

Selain itu jelasnya, pengeluaran juga terhad kerana beliau tidak dapat mengambil pekerja untuk membantu melancarkan proses pembuatan produk jualan.

Naqib bersama rakan-rakannya berniaga di Cyber City sepanjang Ramadan ini dan pelanggan juga boleh menempah untuk perkhidmatan penghantaran tunai (COD) bagi juadah berbuka puasa.

"Pada awalnya sambutan pelanggan memang kurang menggalakkan. Tetapi selepas beberapa hari kami membuat iklan, Alhamdulillah semakin ramai pelanggan yang datang.

 Penjarakan sosial antara SOP yang dipatuhi peniaga semasa di premis perniagaan.
SOP: Penjarakan sosial antara SOP yang dipatuhi peniaga semasa di premis perniagaan.

"Justeru, selepas Ramadan ini, kami merancang untuk meneruskan perniagaan menjual makanan walaupun PKP masih dilaksanakan," katanya yang sebelum ini terlibat dalam sektor pelancongan.

Salah seorang rakan niaganya, Mohd Khairul Sutarso turut sama nekad meneruskan perniagaan baharu pada musim PKP dan Ramadan.

Menurutnya, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah, bisnes tetap perlu dijalankan.

Beliau juga menghadapi kekangan yang sama apabila sesetengah bahan mentah sukar diperolehi terutama bahan yang dibawa dari luar negeri.

Katanya, membeli bahan mentah setiap hari untuk jualan adalah pengalaman pertama yang perlu dilakukan sebagai kelaziman sekarang.

Namun jelasnya, itu tidak mematahkan semangat untuk beliau meneruskan perniagaan menjual makanan dan minuman merangkumi pelbagai juadah berbuka puasa.

"Selepas Ramadan ini, saya juga merancang untuk membuka kafe atau anjung makan secara khusus di samping mencari menu tambahan mengikut kesesuaian lokasi," katanya.

 Kuih-muih jenis tradisional dan moden turut disediakan.
PELBAGAI JENIS: Kuih-muih jenis tradisional dan moden turut disediakan.

Bagi jualan berbuka puasa, antara produk yang disediakan termasuklah ayam pandan, nasi tomato, nasi katok, nasi ayam, laksa Sarawak, kambing perap, jus buah-buahan, aiskrim gula apong, dan pelbagai jenis kuih-muih.

Para pelanggan boleh mengunjungi premis jualan di Restoran Zubaidah Cyber City Kota Kinabalu.

  • oleh
  • Advertisement