Anda di sini

Setengah juta helai pelitup muka bakal diedar ke seluruh Sabah

Advertisement
 Maximus (dua kiri) menerima pelitup muka yang dibungkus semula untuk kawasan Parlimen Kota Marudu daripada Kamal (dua kanan). Turut kelihatan, Samsuni (kiri) dan Ruji (kanan).
SUMBANGAN: Maximus (dua kiri) menerima pelitup muka yang dibungkus semula untuk kawasan Parlimen Kota Marudu daripada Kamal (dua kanan). Turut kelihatan, Samsuni (kiri) dan Ruji (kanan).

KOTA KINABALU: Kira-kira setengah juta helai pelitup muka sumbangan kerajaan Persekutuan akan diedarkan ke seluruh Sabah tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata, kesemua pelitup muka berkenaan kini dalam proses pembungkusan.

Katanya, pengagihan bantuan bekalan itu diselaraskan oleh Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Ahli Parlimen dan ADUN akan mengagihkan bantuan pelitup muka ini kepada para petugas barisan hadapan, keluarga berpendapatan rendah dan murid-murid sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau kerja-kerja pembungkusan semula kira-kira 500,000 pelitup muka di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, bulan lepas, sekitar 2.52 juta helai pelitup muka sumbangan kerajaan Persekutuan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diagihkan ke daerah-daerah di seluruh Sabah.

Pihaknya turut memuji usaha pegawai dan kakitangan ICU serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu oleh sukarelawan yang membungkus semula pelitup muka kepada bungkusan yang lebih kecil dan siap untuk diedarkan.

"Rakyat dinasihatkan agar memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, terutamanya di tempat yang sesak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan penularan virus COVID-19.

"Dengan adanya rasa tanggungjawab dan sokongan rakyat, bersama kita akan dapat mengatasi wabak ini," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Noor, Pegawai Kemajuan Negeri Sabah Datuk Ruji Ubi dan Pengarah APM Sabah Kolonel Kamal Mokhtar.

Advertisement