Anda di sini

Pelajar KML terkandas sudah dihantar pulang ke Limbang

Advertisement
 Pelajar menunggu giliran untuk pemeriksaan saringan suhu badan sebelum dibenarkan naik ke kapal ekspres yang membawa mereka pulang ke Limbang, Sarawak di Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan, Sabtu lalu.
SARINGAN: Pelajar menunggu giliran untuk pemeriksaan saringan suhu badan sebelum dibenarkan naik ke kapal ekspres yang membawa mereka pulang ke Limbang, Sarawak di Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan, Sabtu lalu.

LABUAN: Seramai 47 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dihantar pulang ke kampung halaman mereka di Limbang dan Lawas, Sarawak melalui jalan laut menggunakan kapal ekspres, pada Sabtu lalu.

Pengarah KML Mohd Idris Omar berkata, mereka merupakan kumpulan pertama daripada 2,170 pelajar yang telahpun menamatkan pengajian untuk memohon dihantar pulang ke Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, kesemua pelajar yang dihantar pulang itu akan menjalani kuarantin selama 14 hari di Hotel Purnama sebaik tiba di Limbang sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Kumpulan kedua pelajar KML yang akan pulang ke Sabah menggunakan jalan darat hari ini dan esok.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan penghantaran pelajar KML," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penghantaran Pulang kumpulan pertama pelajar KML di Dewan Utama KML.

Terdahulu, semua pelajar terbabit berkumpul di Dewan KML untuk diberikan taklimat oleh pihak PDRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi sebelum mereka dibawa menaiki bas ke Terminal Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan dengan diiringi polis.

Tambah Mohd Idris, KML dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan bagi pelajar Sarawak khususnya dari Miri, Bintulu dan Kuching serta Semenanjung yang kepulangan mereka memerlukan penerbangan.

Turut hadir Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah dan Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad.

Sementara itu, di Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan, kesemua pelajar sekali lagi menjalani saringan suhu badan dan saringan kesihatan oleh enam pegawai kesihatan Limbang yang mengiringi pelajar berkenaan.

Pada masa yang sama anggota HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan turut membuat sanitasi ke atas bagasi dan kapal ekpress yang membawa pulang pelajar terbabit.


 

Advertisement