Anda di sini

Pelancongan Sabah kembali diperkasa selepas COVID-19 pulih sepenuhnya

Advertisement
 Christina (empat kanan) merakamkan kenangan bergambar bersama Nordin (lima kiri), Liang (tiga kanan) dan wakil penyumbang pada majlis itu.
SUMBANGAN: Christina (empat kanan) merakamkan kenangan bergambar bersama Nordin (lima kiri), Liang (tiga kanan) dan wakil penyumbang pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Usaha untuk memperkasakan semula industri pelancongan Sabah akan terus dipergiatkan selepas wabak COVID-19 pulih sepenuhnya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, kerajaan yakin pelancongan di Sabah mampu untuk pulih kembali dan jangkitan COVID-19 dapat ditangani secara menyeluruh.

Katanya, usaha untuk mempromosian pelancongan Sabah perlu dipergiatkan secara berperingkat dengan bantuan dan sokongan negara luar seperti China.

"Saya yakin China dan negara lain bersedia dengan vaksin dan rawatan sewajarnya dalam menangani jangkitan COVID-19.

"Sehubungan itu, saya turut yakin Sabah juga mampu menangani penyakit pandemik ini seterusnya kembali mempromosikan pelancongan memandangkan industri ini antara sektor yang paling terjejas teruk," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis penyampaian sumbangan peralatan perubatan daripada dua syarikat swasta kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini.

Christina berkata, hari ini (4 Mei) pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan di bawah kementeriannya untuk mengenal pasti langkah yang perlu diambil selepas COVID-19.

Menurutnya, usaha untuk memulihkan bidang pelancongan, pembangunan dan hidupan liar antara perkara yang akan menjadi keutamaan dan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Mayor DBKK Datuk Nordin Siman berkata, setakat ini tiada kakitangan DBKK dilaporkan mendapat jangkitan COVID-19 selepas  beberapa pegawai menjalani saringan kesihatan.

Katanya, kakitangan yang terlibat juga sudah tamat menjalani arahan kuarantin di rumah selama 14 hari dan dilaporkan bebas COVID-19.

"Kita amat menghargai sumbangan yang diberikan pihak swasta bagi memastikan kakitangan DBKK mempunyai kelengkapan yang mencukui dalam menjalankan tugas.

"Sehingga kini, lebih 20 syarikat memberikan sumbangan termasuk peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada DBKK.

"Kesemua sumbangan ini memang mencukupi sehingga 12 Mei 2020 dan boleh digunakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 4 tamat," jelasnya.

Pada majlis itu, syarikat Fujian Fusun Investment Co Ltd dan Skyrich Development Sdn. Bhd menyumbangkan sebanyak 480 helai pakaian perlindungan perubatan pakai buang; 400 helai pelindung muka; 720 pasang kaca pelindung mata; dan 50,000 helai pelitup muka yang bernilai RMB300,000.

Turut hadir, Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide; Pengurus Besar Skyrich Development Lin You Lue dan Timbalan Pengurus Besar Skyrich Development Li Wang Hui.



 

  • oleh
  • Advertisement