Anda di sini

Keputusan tidak laksana PKPB bukti kerajaan Sabah prihatin keselamatan Rakyat

Advertisement
CAROLLYNA
CAROLLYNA

KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan negeri untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambut baik dalam kalangan rakyat.

Carollyna Saikun, 27, berpendapat bahawa pengumuman yang dilakukan Ketua Menteri Sabah adalah wajar.

"Pada pendapat saya, adalah wajar kerajaan negeri sabah tidak melaksanakan PKPB dan meneruskan PKP sehingga 12 Mei untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

"Tindakan ini menunjukkan kerajaan negeri mengambil berat dan memandang serius tentang isu ini walaupun statistik penyakit berjangkit ini menunjukan penurunan yang agak ketara di Sabah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, adalah lebih baik PKP diteruskan sehingga COVID-19 dihapuskan sepenuhnya di Sabah atau Malaysia agar perkara yang melanda negara ini sekarang tidak berulang di masa hadapan.

AUGUSTINUS
AUGUSTINUS

Augustinus Beda, 27, turut berpendapat keputusan kerajaan Sabah adalah tepat dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang kini sudah memasuki dalam kalangan masyarakat.

"Hal ini kerana di Sabah masih terdapat kes yang berlaku selain masih mempunyai kluster yang tidak dapat dikesan.

"Oleh itu, langkah ini sangat wajar dilaksanakan oleh kerajaan Sabah. Kes di Malaysia, khususnya di Sabah masih belum di tahap sifar dan ini membimbangkan sekiranya tidak ada kawalan pergerakan yang berterusan," katanya.

LUBELTER
LUBELTER

Lubelter Voy Bolodin, 30, juga berpendapat adalah masih terlalu awal untuk melonggarkan PKP walaupun kes positif COVID-19 semakin berkurangan.

Katanya, keadaan yang bertambah baik itu masih belum cukup untuk menjamin angka rendah berkenaan akan terus berkekalan.

"Walaupun Sabah sehingga kini (2 Mei) masih mencatatkan tidak ada peningkatan kes positif COVID-19, tetapi kita tidak boleh lalai dan menganggap kita sudah selamat daripada wabak itu.

"Kita boleh lihat sendiri jumlah peningkatan kes COVID-19 di Malaysia meningkat semula ke 105 (11 kes import) pada 2 Mei menunjukkan kes positif mempunyai potensi untuk meningkat walaupun masih dalam fasa PKP ini," katanya.

Beliau khuatir sekiranya PKPB dilaksanakan, jumlah kes berkenaan akan terus meningkat secara mendadak disebabkan pembukaan semula sektor-sektor tertentu yang berpotensi menarik orang ramai untuk berkumpul.

Katanya, keadaan itu secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan kes baharu COVID-19.

"Maka dengan itu, saya sangat bersukacita atas tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Sabah dalam membendung penularan kes COVID-19 bagi memastikan rakyat di negeri ini terus dihindari daripada penyakit merbahaya ini," katanya.



 

  • oleh
  • Advertisement