Anda di sini

Penyeludupan barang subsidi tumpas

Advertisement
 Anggota marin memeriksa kapal yang menyeludup barangan bersubsidi dan runcit.
SELUDUP: Anggota marin memeriksa kapal yang menyeludup barangan bersubsidi dan runcit.

SANDAKAN: Kegiatan menyeludup keluar barangan bersubsidi dan runcit menggunakan kapal nelayan bernilai RM54,000 berjaya digagalkan oleh Pasukan Polis Marin Sandakan, petang kelmarin.

Seorang lelaki warga asing ditahan selepas membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di perairan laut Inner Bouy Pulau Berhala, kira-kira jam 3 petang.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Haji Mohamad Pajeri Ali berkata, rondaan Op COVID-19 dijalankan dengan kekuatan seorang pegawai dan 11 anggota menggunakan Kapal Ronda PSB 2 PPM Sandakan.

"Pihak kita yang sedang menjalankan tugas dengan bergerak di kawasan terbabit mendapati kapal berkenaan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan terbabit.

"Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas kapal terbabit mendapati terdapat seorang juragan yang berumur 48 tahun," katanya yang turut memeriksa barangan yang dirampas di Jeti PPM Sandakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati terdapat barang kawalan sebanyak 150 bungkus minyak masak, 50 bungkus gula kasar, 30 kotak tepung gandum dan lain-lain barang runcit  yang dianggarkan berjumlah RM54,083.

"Juragan terbabit juga gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya," katanya.

Pajeri berkata, suspek dan semua barang rampasan tanpa permit  termasuk kapal bersama enjinnya dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

 Lelaki bersama barang bersubsidi dan runcit yang cuba diseludup keluar berjaya diberkas oleh PPM Sandakan.
DITAHAN: Lelaki bersama barang bersubsidi dan runcit yang cuba diseludup keluar berjaya diberkas oleh PPM Sandakan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM54,083 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan,” katanya.

Beliau berkata barangan rampasan kemudiannya diserah kepada KPDNHEP Sandakan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sandakan oleh pihak KPDNHEP.

  • oleh
  • Advertisement