Anda di sini

Sabah tiada halangan tarikh baharu SUKMA

Advertisement
PHOONG
PHOONG

KOTA KINABALU: Penganjuran edisi ke-20 Sukan Malaysia (SUKMA) Johor yang telah ditunda ke 6-14 Mac 2021 harus mengambilkira tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe dalam kenyataan di sini semalam berkata, pada dasarnya kementeriannya (KBSS) tidak mempuyai halangan terhadap tarikh baharu tersebut tetapi ianya tertakluk kepada tarikh peperiksaan SPM dan STPM yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudian.

"Sekiranya mempunyai percanggahan tarikh atau  terlalu dekat dengan tarikh peperiksaan, maka jawatankuasa ini akan berbincang semula seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020, iaitu pada bulan Oktober nanti," kata Phoong.

Menteri Belia Dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan tarikh baharu selepas SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya berlangsung pada 11-19 Julai ditunda ekoran pandemik COVID-19.

Pengumuman itu dibuat selepas Reezal mempengerusikan mesyuarat  Jawatankuasa Tertinggi SUKMA secara online yang turut disertai Phoong, dua hari lalu.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA itu juga telah membuat beberapa pindaan peraturan termasuk dari segi umur atlet di mana atlet yang sudah didaftarkan dalam senarai pendaftaran awal sebelum 9 Januari 2020 dibenarkan mengambil bahagian walaupun tahun depan mereka sudah melebihi had umur.

Pindaan peraturan itu menjawab persoalan mengenai kelayakan umur sebelum ini kerana SUKMA adalah untuk atlet berusia 21 tahun ke bawah.

"Pindaan peraturan yang telah dibuat juga bersifat adil kepada semua atlet yang telah didaftarkan pada Januari 2020 yang lalu. Ini memberi peluang terutamanya atlet yang berumur 20 dan 21 tahun pada tahun ini untuk menyertai SUKMA Edisi ke–20 ini pada kali yang terakhir.

"Adalah lebih wajar dan sesuai tarikh-tarikh tersebut dipindahkan seperti tarikh yang telah diumumkan bagi memastikan SUKMA dan PARA SUKMA 2020 masih boleh dijalankan dengan jayanya selepas negara kita menangani wabak COVID–19 ini," kata Phoong.

Walaupun dianjurkan pada tahun depan, sukan terbesar negara itu dikekalkan sebagai SUKMA 2020.

Kejohanan Para SUKMA Johor 2020 yang telah ditunda ke 5-10 April 2021 juga dikekalkan sebagai Para SUKMA 2020.

Phoong berkata, dengan adanya tarikh baharu SUKMA 2020 dan Para SUKMA 2020 itu, para jurulatih dan atlet boleh menyusun semula program latihan.

"Walaupun sukar untuk melatih seperti selalu tetapi ada latihan-latihan yang masih boleh atlet lakukan di rumah dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini. Latihan perlu diteruskan dan tahap kecergasan atlet serta kemahiran sukan perlu dikekalkan atau ditambah baik," kataanya.

Beliau berkata, jurulatih perlu memantau bagi memastikan atlet mereka melakukan latihan yang telah diberikan.

"Atlet boleh merakam sesi latihan tersebut dan hantar kepada jurulatih untuk dinilai bagi memastikan latihan tersebut dilakukan dengan tepat terutamanya pada bulan Ramadan ini. Sentiasa jaga diri baik-baik, jaga berat badan, hati-hati ketika makan dan minum bagi mengelakkan 'doping'.

"Akhir sekali, saya berharap semua atlet, jurulatih dan juga semua penggiat sukan teruskan membuat latihan di rumah. Bersama-sama kita akan menangani wabak COVID–19 ini. Kepada semua atlet dan pegawai beragama Muslim, selamat menunaikan ibadah puasa di rumah masing-masing," kata Phoong.

  • oleh
  • Advertisement