Anda di sini

Berbuka puasa bersama petugas barisan hadapan SJR

Advertisement
 Mohd Azhar memeriksa penunggang motorsikal yang melalui Sekatan Jalan Raya.
PERIKSA: Mohd Azhar memeriksa penunggang motorsikal yang melalui Sekatan Jalan Raya.

SANDAKAN:  Petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi, berbuka puasa dalam khemah bertugas di bahu jalan di Jalan Leila, dekat sini, semalam.   

Bertugas tidak kira masa, selain menahan lapar, dahaga dan kesabaran sepanjang berpuasa  adalah satu cabaran kepada petugas barisan hadapan ini.

Dalam bulan Ramadan, pegawai dan anggota keselamatan bertugas tetap komitmen menjalankan tanggungjawab dan ada antara petugas ini, kali pertama berhadapan pengalaman berbuka puasa di lokasi bertugas.

Tersingkap di raut wajah setiap pegawai dan anggota bertugas ini kesabaran dan semangat yang tinggi walaupun jauh di sudut hati mereka ingin berbuka puasa bersama keluarga.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin turut sama berbuka puasa hari pertama Ramadan bersama petugas barisan hadapan dalam khemah bertugas di bahu jalan berkenaan.

“Saya turun untuk bersama-sama pegawai dan anggota keselamatan yang bertugas untuk berbuka puasa di lokasi sekatan jalan raya.

“Saya amat terkesan dengan komitmen tinggi petugas melaksanakan tanggungjawab mereka dalam bulan Ramadan ini dan kita amat menghargai pengorbanan mereka,” katanya.

 Mohd Azhar menbaca niat berbuka puasa bersama pegawai dan anggota petugas SJR.
BERBUKA: Mohd Azhar menbaca niat berbuka puasa bersama pegawai dan anggota petugas SJR.

Mohd Azhar mengingatkan petugas barisan hadapan di SJR agar berhati-hati menjalankan tugas dan sentiasa mementingkan langkah penjagaan ketika menjalankan pemeriksaan.

Tinjauan mendapati kenderaan yang melalui SJR berkenaan hanya terdapat lima atau enam kenderaan ketika petugas sedang berbuka puasa.

Walaupun sedang berbuka puasa, anggota bertugas tetap membuat kawalan dengan membuat pemeriksaan terhadap mana-mana kenderaan yang melalui SJR berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement