Anda di sini

Christina puji kejayaan anggota penguatkuasa undang-undang

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Anggota penguatkuasa undang-undang dipuji atas kejayaan mereka berjaya menangkap beberapa suspek terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di Tongod dan Tawau baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, pasukan  Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL), Ranjer Hidupan Liar dan Warden Hidupan Liar Yayasan Sabah berjaya menangkap suspek di Kampung Keramuak Tongod pada Rabu lepas dan Jalan Sungai Imam Tawau pada hari berikutannya.

Katanya, di Tongod, polis berjaya menahan dua warga tempatan berusia di antara 30 sehingga 36 tahun dan merampas daging rusa.

"Di Tawau tiga warga tempatan berusia di antara 29 sehingga 49 juga ditangkap oleh Ranjer Hidupan Liar dan Warden serta merampas sebanyak lima ekor rusa yang dibunuh.

"Tahniah kepada pasukan penguatkuasaan ini, usaha seumpamanya sangat dihargai. Saya difahamkan oleh Pengarah JHL bahawa sekatan jalan di Tawau dilaksanakan oleh Ranjer Hidupan Liar dan dibantu oleh Warden Hidupan Liar Yayasan Sabah.

"Tangkapan di Tongod pula dilakukan oleh pasukan polis peronda yang dibantu oleh ahli RELA," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, tangkapan yang dilakukan itu diharapkan dijadikan pengajaran kepada semua pemburu haram di negeri ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana memberikan kerjasama baik kepada pasukan penguatkuasaan.

"Tangkapan di Tawau berjaya dilakukan selepas mendapat maklumat daripada orang awam. Saya menyeru kepada semua pasukan penguatkuasa akan teruskan usaha untuk memerangi pemburu haram di negeri ini," katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan akan disiasat  berdasarkan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

  • oleh
  • Advertisement