Anda di sini

Dua pengedar dadah ditahan bersama syabu 601.15 gram

Advertisement
 Peter menunjukkan syabu yang berjaya dirampas semasa sidang medianya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau.
DADAH: Peter menunjukkan syabu yang berjaya dirampas semasa sidang medianya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau.

TAWAU: Polis berjaya menahan dua lelaki warga asing dipercayai pengedar dadah bersama syabu seberat 601.15 gram dianggarkan bernilai RM36,000 pada 21 April lalu,  jam 8 malam di kawasan pintu masuk utama sebuah ladang di Pulau Sebatik, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata tangkapan dibuat selepas mendapat maklumat berkenaan pergerakan inidividu yang mencurigakan di kawasan tersebut.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Bergosong telah membuat intipan dan berjaya mengesan suspek berumur 39 dan 41 tahun dalam keadaan mencurigakan sedang melalui kawasan tersebut menaiki motosikal," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, pihak polis tidak menemui sebarang benda terlarang selain mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Namun, pemeriksaan lanjut ke atas motosikal yang dinaiki telah menemukan satu kotak yang berbungkus plastik tergantung di ruang hadapan motosikal.

"Setelah dibuka mendapati terdapat satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai dalam perjalanan ke wilayah Indonesia dari Pulau Sebatik dengan menggunakan motosikal manakala syabu yang dirampas itu dipercayai diperolehi dari tanah besar Tawau.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine," katanya.

Peter berkata, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama tujuh hari bermula 22 April hingga 28 April dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1956 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan (No 3) 2020," katanya.

  • oleh
  • Advertisement