Anda di sini

14 korban banjir kilat di Aden, Yaman

Advertisement
 Kanak-kanak membantu menolak kenderaan yang terkandas dalam banjir kilat di jalan raya di bandar Aden,                       Yaman kelmarin. — Gambar AFP
BANJIR KILAT: Kanak-kanak membantu menolak kenderaan yang terkandas dalam banjir kilat di jalan raya di bandar Aden, Yaman kelmarin. — Gambar AFP

ADEN: Empat belas orang, termasuk sekurang-kurangnya lima kanak-kanak, ter-korban dan beberapa lagi tercedera dalam banjir kilat di Aden, bandar kedua Yaman, kata pihak berkuasa kelmarin, di tengah-tengah jalan raya dinaiki air dan beberapa rumah musnah.

Kematian itu meningkatkan angka rasmi negara kepada sekurang-kurangnya 21 orang selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan tujuh orang lagi meninggal dunia akibat banjir di utara, di mana konflik panjang di negara ini antara kerajaan dan pemberontak Huthi yang disokong oleh Iran berterusan.

Timbalan Perdana Men-teri Salem al-Khanbashi memberitahu AFP bahawa “lelaki, wanita dan kanak-kanak” adalah antara 14 orang yang meninggal dunia di Aden, di mana “banjir turut menyebabkan jalan raya ditutup di kebanyakan daerah.”

Beliau menambah bahawa infrastruktur sanitasi telah mengalami kerosakan teruk dan memohon bantuan segera untuk menangani penyebaran penyakit, “terutama kolera dan jangkitan virus lain yang berbahaya.”

Seorang pegawai kerajaan memberitahu AFP sekurang-kurangnya 10 rumah musnah dan 90 lagi rosak teruk.

Banjir tersebut menambahkan masalah di negara ini, ketika ia bergelut untuk mencegah penyakit bawaan air dan bersiap sedia untuk penyebaran COVID-19, selepas merekodkan satu kes setakat ini.

Oxfam menyatakan kelmarin bahawa ia berasa “sangat bimbang” mengenai ribut yang berlaku baru-baru ini, yang turut melanda beberapa wilayah lain di seluruh negara.

“Penduduk telah meninggal dunia, beberapa rumah mengalami kerosakan, (kem bagi mereka yang tiada tempat tinggal) terjejas dan banjir ini menambahkan lagi penyebaran kolera,” Samah Hadid, pengarah kumpulan penyokong untuk Oxfam Yemen, memberitahu AFP.

Lebih tiga juta orang telah kehilangan tempat tinggal di Yaman, yang dimusnahkan oleh peperangan selama beberapa tahun, dengan ramai tinggal di kem yang sangat terdedah kepada penyakit.

“Oxfam meramalkan mungkin terdapat sejuta kes kolera pada tahun ini dengan permulaan musim hujan di Yaman,” kata Hadid.

Sekurang-kurangnya 35 keluarga terperangkap di dalam rumah mereka kelmarin, yang dimasuki air dan lumpur, penduduk di Aden memberitahu AFP.

Beratus-ratus kenderaan terkandas di tengah-tengah jalan raya yang banjir, dan di satu bahagian di bandar, seorang budak lelaki duduk di dalam sebuah kotak styro-foam dan menggunakan sekeping papan untuk mendayung menyeberangi jalan besar.

Mohammed Abdulhakim, seorang penduduk Aden, berkata situasi di bandar adalah dahsyat.

“Terdapat air dan lumpur di dalam rumah saya, bebe-rapa kereta telah dihanyutkan di jalan raya, yang sekarang tersekat sepenuhnya dan musnah,” beliau memberitahu AFP.

Agensi pelarian PBB kelmarin berkata hujan lebat dan banjir telah menjejaskan  penduduk Yaman yang tiada tempat tinggi di seluruh negara, termasuk ibu negeri Sanaa yang ditawan oleh pemberontak dan wilayah utara Marib.

“Banyak keluarga yang kehilangan tempat berteduh, serta segala-gala yang mereka miliki,” kata UNHCR dalam satu kenyataan di Twitter bersama gambar seorang lelaki membawa dua kanak-kanak menyeberangi jalan raya yang dinaiki air di dalam sebuah tab.

PBB menyatakan pada Selasa lepas bahawa sekurang-kurangnya tujuh orang telah terkorban dan 85 tercedera dalam banjir kilat di daerah utara Yaman pada bulan ini.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri Yaman Moeen Abdulmalik Saeed mengisytiharkan Aden, di mana kerajaan telah berpusat selepas pemberontak me-rampas Sanaa, “sebuah zon bencana”.

Dianggarkan 24 juta rakyat Yaman – lebih 80 peratus daripada populasi – bergantung kepada beberapa bentuk bantuan kemanusiaan atau perlindungan untuk meneruskan hidup, kata PBB. — AFP

Advertisement