Anda di sini

Perkhidmatan `runner' tidak berdaftar tidak dibenar

Advertisement
SAFAR UNTONG
SAFAR UNTONG

KOTA KINABALU: Permintaan untuk menggunakan perkhidmatan ‘runner’ yang tidak berdaftar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak dibenarkan. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata keputusan itu dibuat kerajaan negeri melalui Sabah Covid-19 Command Centre semalam.

Katanya, kerajaan negeri mengambil maklum bahawa pergerakan rakyat Sabah adalah terhad berikutan pelaksanaan PKP bagi menghalang penularan dan seterusnya memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Sabah. 

"Namun demikian, permintaan untuk menggunakan perkhidmatan ‘Runner’ yang tidak berdaftar adalah tidak dibenarkan. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan diarah untuk memantau perkara ini," katanya.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, beliau  berkata kerajaan negeri bersetuju membenarkan Klinik Haiwan Peliharaan Swasta untuk beroperasi setiap hari mulai jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang, kecuali bagi kes-kes kecemasan. 

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan mengenal pasti klinik yang dibenarkan beroperasi. 

Mengenai garis panduan pengurusan bangunan perumahan bertingkat, beliau berkata pengurusan bangunan bertingkat sama ada berdaftar atau masih di bawah pengurusan pemaju adalah digesa untuk mematuhi beberapa peraturan.

Antaranya termasuk menutup kemudahan seperti dewan, gimnasium, kolam renang, sauna, taman permainan dan surau;  menyediakan hand sanitizer dan saringan suhu badan di pondok pengawal untuk setiap penghuni, pelawat, penghantar makanan dan kemudahan `essential goods' ke pembangunan perumahan; serta melakukan nyah cemar kawasan milikan bersama seperti lobi, lif dan ruang koridor.

Bagi memastikan perkhidmatan kepada penghuni tidak terjejas, pejabat pengurusan dan perkhidmatan wakil pengurusan dibenarkan beroperasi, tetapi bilangan kakitangan yang bertugas serta masa operasi perlu dihadkan. 

Beliau juga berkata kerajaan negeri turut memutuskan untuk membenarkan premis pengurusan dan  perkhidmatan jenazah untuk beroperasi setiap hari mulai jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang. 

Katanya, PKOB dan Pihak Berkuasa Tempatan diarah untuk memantau perkara itu. 

Advertisement