Anda di sini

98 terkandas di Nunukan, kini balik rumah selepas tamat kuarantin

Advertisement
 Asyraf dan anaknya yang membotakkan kepala bersama isteri mengadakan kenduri kesyukuran sempena ketibaan Ramadan di kediaman mereka di Tawau.
SYUKUR: Asyraf dan anaknya yang membotakkan kepala bersama isteri mengadakan kenduri kesyukuran sempena ketibaan Ramadan di kediaman mereka di Tawau.

KOTA KINABALU: Seramai 98 orang yang terkandas di Nunukan, Kalimantan bersyukur dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas tamat menjalani kuarantin 14 hari di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau.

Kebenaran itu diperolehi selepas mereka menerima kad hijau (disahkan bebas ancaman COVID-19) oleh petugas Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di pusat kuarantin terbabit.

Kesyukuran itu dikongsikan oleh wakil mereka, Ahmad Rizamsyah Mohd Noor, 28, lebih-lebih lagi apabila dapat meraikan ketibaan Ramadan di rumah masing-masing.

Utusan Borneo yang menghubungi Rizamsyah dimaklumkan bahawa mereka dibenarkan keluar dari IPG Tawau untuk pulang ke rumah kira-kira jam 11 pagi tadi (Khamis).

Bagaimanapun, 18 orang daripada mereka hanya keluar dari IPG Tawau, pagi semalam, berikutan pengurusan pengangkutan untuk meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.

Sebaik tiba di rumah, Rizamsyah terus melakukan sujud syukur malah membotakkan kepala bersama anak sebagai menunaikan nazarnya semasa terkandas di Nunukan.

“Isteri yang membotakkan kepala saya dan anak,” katanya, sambil meluahkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri yang membantu mereka.

Pada masa sama, beliau juga berterima kasih dengan bantuan Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata dan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman.

Begitu juga, orang perseorangan, iaitu Asdar Sulaiman, David Udin, Aslan Fadli dan warga Nunukan, serta ramai lagi termasuk media seperti Utusan Borneo dan negara jiran.

“Saya percaya perjuangan untuk balik ke Tawau ini adalah hasil usaha bersama dan juga doa daripada orang tua khususnya orang-orang yang bersama-sama kami terkandas.

“Kami bersyukur kerana urusan dipermudahkan dan kenangan yang dilalui ini terlalu mahal untuk kami, semoga jasa baik semua menerima kebaikan daripada Allah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga berterima kasih dengan semua petugas barisan hadapan yang menjaga kebajikan mereka dari Terminal Feri Tawau sehinggalah tamat kuarantin di IPG Tawau.

Terdahulu, proses penghantaran pulang Rizamsyah dan kumpulannya dijalankan selepas Kerajaan Negeri memberikan kebenaran khas untuk bertolak semasa Perintah Kawalan Pergerakan dari Nunukan ke Tawau.

Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof dalam kenyataannya berkata mereka adalah kumpulan keempat yang dibawa balik dari Nunukan.

Dalam kenyataannya juga, Sharifah berkata kumpulan itu terdiri daripada 108 orang melibatkan 86 rakyat Malaysia dan 22 warga Indonesia iaitu isteri, suami atau ibu bapa (pemegang pasport jaminan) kepada rakyat warganegara.

  • oleh
  • Advertisement