Anda di sini

108 individu dibawa pulang

Advertisement
 Kumpulan terbabit melalui proses saringan ujian COVID-19 di pusat Kuarantin Kampus IPG Tawau.
PUSAT KUARANTIN: Kumpulan terbabit melalui proses saringan ujian COVID-19 di pusat Kuarantin Kampus IPG Tawau.

Terkandas di Nunukan, Indonesia sejak 30 Mac susulan PKP

TAWAU: Seramai 108 inidividu termasuk 86 rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Nunukan, Indonesia sejak 30 Mac lalu selamat tiba di Terminal Feri Tawau (TFT) pagi semalam.

Kumpulan terbabit yang menaiki feri khas KM Francis Express itu tiba di jeti TFT kira-kira jam 11.15 pagi sebelum diiring masuk ke Kompleks Kastam Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

Mereka terdiri daripada 46 lelaki, 62 wanita, termasuk 18 kanak-kanak dan 22 warganegara Indonesia berumur antara  dua hingga 70 tahun yang juga isteri, suami atau ibu bapa kepada pasangan (jaminan) warga Malaysia.

Proses penghantaran pulang semalam merupakan siri keempat selepas kerajaan negeri memberikan kebenaran khas kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan sejak 18 Mac lalu.  

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Kumpulan ini sepatutnya dibawa masuk ke Tawau pada siri ketiga proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia selepas pelaksanaan PKP.

"Namun, mereka tidak sempat menaiki feri berkenaan berkenaan menyebabkan satu lagi usaha membawa pulang kumpulan berkenaan hari ini (semalam)," katanya.

Sitti Saleha berkata, semua individu yang ingin pulang ke Sabah perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.

"Seperti sebelumnya, operasi hari ini membabitkan semua agensi petugas barisan hadapan termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia, pasukan perubatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA dan banyak lagi.

"Ia bagi memastikan operasi membawa pulang kumpulan berkenaan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, semua kumpulan individu itu dihantar ke pusat kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau untuk menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari.

"Saya melihat usaha ini menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyatnya yang berada di luar negara sekaligus dapat mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 di sini," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement