Anda di sini

Sidang Dewan Rakyat 18 Mei akan laksana langkah cegah COVID-19

Advertisement
Gambar fail Bernama 

BATU PAHAT: Persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 18 Mei ini akan mengambil beberapa langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 termasuk melaksanakan jarak sosial satu meter melibatkan tempat duduk wakil rakyat di Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata jarak sosial berkenaan akan membabitkan penstrukturan semula tempat duduk ahli Parlimen dengan masing-masing akan duduk berselang satu kerusi berbanding sebelum ini yang duduk bersebelahan.

Menurut beliau, ahli Parlimen yang hadir akan turut menggunakan beberapa tempat duduk pembantu menteri dan ruang tetamu di bahagian kiri dan juga kanan bahagian belakang Dewan Rakyat.

“Pihak pentadbiran Dewan Rakyat akan menyelenggara semua kemudahan yang ada termasuklah mikrofon yang akan ditambah pada ruang pelawat kerana pada sidang yang dijadual berlangsung hanya sehari atau setengah hari itu akan mengehadkan iringan pegawai serta tiada perbahasan.

“Setakat ini, kita telah maklumkan kepada semua 222 ahli Parlimen melalui surat yang dihantar kepada mereka yang persidangan pada kali ini akan dilakukan seringkas yang mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan barangan keperluan dan peralatan perlindungan diri (PPE) daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat untuk Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang diambil pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Mohd Rashid berkata setiap ahli Parlimen yang hadir pada hari berkenaan juga perlu mempunyai rekod peribadi saringan kesihatan termasuklah saringan COVID-19 sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh persidangan berlangsung.

Selain itu, beliau berkata antara langkah lain yang akan diambil adalah mengehadkan pintu keluar masuk ke dewan serta saringan suhu badan juga akan dilakukan sebelum sidang dewan terbabit berlangsung.

Agenda sidang dewan kali ini turut memfokuskan pada aspek penularan wabak COVID-19, katanya.

Jelasnya, antara agenda lain adalah pelantikan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu setelah pengerusinya sebelum ini yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad melepaskan jawatannya. - Bernama 

Advertisement