Anda di sini

COVID-19: KKM kesan 15 kes positif dalam kluster Pengerang 

Advertisement
Dr Noor Hisham bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama
Dr Noor Hisham bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama
 

PUTRAJAYA: Aktiviti kunjung mengunjung dipercayai punca kluster penularan COVID-19 yang bermula di Pengerang, Johor yang menyaksikan 15 kes positif dikesan setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah.    

Beliau berkata akvitviti kunjung mengunjung itu berlaku sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas. 

“Kes indeks kluster berkenaan merupakan kes ke-1508 yang mula mengalami gejala pada 12 Mac. Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac dan disyaki sebagai menghidap demam denggi. 

“Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak-saudara  di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata keadaan kesihatan pesakit itu mula merosot dan dimasukkan ke  Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac dalam keadaan kritikal dan beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac.

Katanya jangkitan itu telah merebak dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain.

Setakat hari ini, kes positif daripada kluster itu melibatkan 10 rakan sekerja dan lima ahli keluarga termasuk ibu pesakit yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun. 

"Sebanyak tujuh kes masih dalam rawatan, lapan lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj manakala tiga kes telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Sehingga kini, lebih 30 kluster COVID-19 dikesan di negara ini sejak kes positif pertama dilaporkan pada 25 Jan lepas.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihatkan umat Islam di negara ini agar menggunakan peluang Ramadan, yang bakal tiba, untuk menunaikan ibadah puasa dan amalan keagamaan seperti solat berjemaah dan sunat Tarawih bersama keluarga di rumah masing-masing. 

Mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan COVID-19 dalam kluster Pengerang dan sub-kluster Rembau, beliau meminta masyarakat kekal patuh kepada PKP dan mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan dan sanak saudara pada bulan Ramadan.

Sementara itu, beliau berkata KKM akan bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari sebelum berakhirnya PKP semasa untuk memberi taklimat kepada perdana menteri mengenai keadaan terkini pandemik berkenaan di negara ini.

"Mungkin dua tiga hari atau empat hari sebelum berakhirnya PKP pada 28 April, kami akan memaklumkan kepada Perdana Menteri berdasarkan model, angka dan fakta yang kami ada, nasihat daripada WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan menyesuaikan nasihat berkenaan dengan keperluan kita," katanya.

Malaysia kini dalam fasa ketiga PKP yang akan berakhir pada Selasa depan, 28 April, setelah fasa pertama bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac manakala fasa kedua pada 1 hingga 14 April. - Bernama 

Advertisement