Anda di sini

BERNAS digesa tidak catu bekalan beras di Sabah

Advertisement
AZUWAN
AZUWAN

KOTA KINABALU: Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) digesa agar tidak membuat catuan bekalan beras kepada pemborong-pemborong di negeri Sabah.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia Azuwan Marjan @ Norjan mendakwa beliau dimaklumkan oleh para pemborong beras bahawa BERNAS telah mula membuat catuan bekalan beras kepada pemborong di Sabah sejak 13 April lalu.

Katanya, tindakan BERNAS membuat catuan bekalan itu akan menyebabkan berlaku kekurangan beras di pasaran tempatan untuk kegunaan penguna terutama semasa PKP dan bulan Ramadan.

Beliau berkata, di kala negara menghadapi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk fasa ketiga, telah menyebabkan keperluan dan permintaan beras yang menjadi makanan ruji negara meningkat.

"Rakyat yang duduk di rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP telah menyebabkan peningkatan permintaan beras sehingga lebih 30 peratus pada bulan Mac berbanding sebelumnya.

"Dengan catuan yang telah dibuat oleh BERNAS menyebabkan para pemborong beras di Sabah tidak dapat membekalkan bekalan yang diperlukan oleh para peruncit," katanya dalam kenyataan.

PKP mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu sebagai langkah kerajaan memerangi wabak COVID-19. Ia dijangka berakhir pada 28 April ini.

Secara purata pemborong beras di Sabah mendapatkan bekalan beras dari Bernas sebanyak 20,000 metrik tan sebulan.

Pada 28 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, berkata stok semasa beras tempatan yang berada di peringkat kilang, pemborong dan peruncit berjumlah 523,000 tan metrik.

“Ini tidak mengambil kira stok pengeluaran beras tempatan dan beras import yang berada dalam negara.

“Buat masa ini, import beras juga tidak terjejas dan berjalan seperti sedia kala. Selain Vietnam, beras turut diimport dari negara pengeluar lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar, India, Kemboja dan lain-lain,” katanya.

BERNAS juga diarahkan kerajaan untuk memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras import dalam negara supaya tidak menimbulkan perasaan kurang yakin dengan kecukupan beras di negeri ini.

Advertisement