Anda di sini

Penjual aiskrim tidak mengaku pukul muka anak tiri

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Seorang penjual aiskrim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan anak tirinya berusia empat tahun.

Tertuduh yang berusia 23 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan memukul di bahagian muka seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di sebuah apartmen, di Desa Aman Puri, Gombak di sini pada 12 tengah hari 10 April lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut  Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, dan dia juga boleh dihukum  di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan  hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M.S Arunjothy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Izzy Aisyah Nabil memohon jaminan rendah dengan alasan dia menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun untuk sebutan kes. - Bernama 

Advertisement