Anda di sini

Harga rumah di Sarawak diramal stabil dengan pasaran perlahan pada pasca COVID-19

Advertisement
 

KUCHING: Harga rumah di negeri ini akan bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan 'Pelan Keluar' selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartahan dan Perumahan Sarawak (SHEDA), Cawangan Kuching, Sim Kian Chiok (gambar) berkata selain itu terdapat beberapa faktor lain yang turut menentukan harga rumah di negeri ini ekoran situasi ekonomi sekarang akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata persoalan penting yang perlu dijawab ialah sepantas mana ekonomi negara dapat dibangunkan semula selepas berakhirnya moratorium pinjaman Bank berakhir pada September 2020.

"Pandangan peribadi saya mengenai harga rumah selepas PKP akan ditentukan oleh pelbagai faktor selain mengambil kira pengalaman lalu.

"Kita tahu ketika krisis kewangan pada 1998, disebabkan kerana masalah hutang dialami bank dan negara, 2008 krisis hutang pula berlaku disebabkan bebanan hutang, oleh bank-bank, sekarang pandemik COVID-19 menyebabkan aktiviti dunia terhenti dan perlu bangkit dari mula selepas wabak ini berakhir.

"Jadi kita berdepan situasi berbeza daripada krisis dunia sebelum ini dan bank-bank kita sekarang dalam kedudukan lebih kukuh berbanding sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sim berkata untuk memahami harga hartanah, terutamanya rumah faktor-faktor asas perlu dilihat ialah bekalan, permintaan, pembiayaan bank, lokasi dan jenis hartanah untuk segmen pendapatam yang berbeza.

Menurutnya pasaran hartanah agak perlahan sejak beberapa tahun lalu, sebelum PKP dan ketika ini harga hartanah dikurangkan dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan syarat-syarat ketat untuk pinjaman kewangan ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau memberitahu isu hartanah tidak terjual di Sarawak adalah stabil dan kadar pelancaran atau pembinaan projek hartanah juga rendah.

"Mengambil kira faktor-faktor di atas dan dengan pandemik COVID-19, selepas PKP secara berperingkat-peringkat ditamatkan, kita tahu dengan moratarium bank enam bulan, subsidi gaji tiga bulan, ia akan membantu aliran tunai pemaju dan wujud permintaan pekerjaan, saya meramal harga (rumah) masih stabil dengan sedikit penurunan bagi menarik minat (pembeli).

"Ini juga bergantung kepada keinginan bank memberi pembiayaan sepanjang tempoh moratorium ini," ujarnya.

Sim menambah, selepas tempoh moratorium enam bulan berakhir, harga hartanah akan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi serta beberapa pekerjaan serta pekerjaan baharu diwujudkan selepas pandemik COVID-19.

Sekiranya, kadar tidak menjelaskan pinjaman rendah dan tidak banyak penjualan paksa selepas moratorium 6 bulan, harga hartanah akan stabil dengan diskaun yang rendah.

"Jika ekonomi kita dapat dipulihkan semula dan kembali kepada momentum sebelumnya dengan cepat, kita dapat melihat  peniagaan dan pendapatan mungkin tidak terjejas selepas PKP ditamatkan," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement