Anda di sini

Zoo Negara terima banyak bantuan, tahap kesedaran masyarakat meningkat

Advertisement
 Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia dilihat melakukan proses pembersihan dan disinfeksi di hadapan kandang haiwan tapir ketika operasi tersebut dijalankan di Zoo Negara sebagai langkah membendung penularan COVID-19, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
PEMBERSIHAN: Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia dilihat melakukan proses pembersihan dan disinfeksi di hadapan kandang haiwan tapir ketika operasi tersebut dijalankan di Zoo Negara sebagai langkah membendung penularan COVID-19, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kesedaran masyarakat dalam membantu Zoo Negara kekal beroperasi serta haiwan-haiwan terbela ketika ini adalah pada tahap yang tinggi berikutan taman haiwan itu menerima banyak sumbangan dari segi tunai mahupun bekalan makanan.

Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata hasil daripada sumbangan itu, kini Zoo Negara hanya menggunakan sedikit kos, manakala selebihnya hasil daripada tindakan prihatin masyarakat.

“Makanan untuk bulan ini kalau ikut kos kita RM350,000 sebulan, (tetapi Zoo Negara) belanja RM50,000 sahaja. RM300,000 sumbangan seperti sayur, manakala daging pula sebanyak 2.5 tan.

“Maksudnya jimat, kita tak payah bayar, dan kita harap Mei akan berterusanlah. Untuk April memang dah cukup dah 4.5 tan ayam dan daging,” katanya ketika ditemui dalam operasi sanitasi awam yang dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama enam agensi lain di Zoo Negara semalam.

Susulan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang merasai keperitan petugas serta haiwan-haiwan di Zoo Negara dengan membantu mereka.

Beliau turut memberitahu, Zoo Negara kini dalam keadaan terbaik apabila penjaga zoo dapat banyak meluangkan masa bersama haiwan di situ tanpa gangguan pengunjung seterusnya pemantauan akan lebih berkesan terhadap kesihatan petugas dan haiwan.

Zoo Negara kini telah mendapat bantuan daripada kerajaan sehingga Disember ini dan membolehkan mereka mempunyai sedikit peruntukan serta dijangka terus beroperasi tanpa pelawat dalam masa tiga hingga empat bulan lagi.

Apabila ditanya mengenai perkembangan kempen ‘Adopt An Animal’, beliau memberitahu, terdapat peningkatan kira-kira RM2 juta yang terkumpul menerusi kempen itu.

“Satu orang derma mungkin RM50 tetapi volume dia, kuantiti dia banyak. Volume dia paling sedikit daripada RM10-RM50 dan ada yang beri RM100 (sumbangan) tetapi yang masuk itu 20,000 ke 30,000 penderma.

“Dan itu pun e-mel kita tidak sempat habis tengok lagi. Setakat ini, saya ingat mungkin sudah berbelas ribu kita buka e-mel, ada lagi kira-kira 10,000 e-mel lagi dalam proses,” katanya.

Terdapat 80 daripada 140 kakitangan Zoo Negara yang bertugas kini dan ia hanya melibatkan mereka dalam bidang zoologi serta penjaga zoo.

Zoo Negara memerlukan kos kira-kira RM850,000 untuk membayar gaji kakitangan, RM350,000 (makanan), RM140,000 (bil elektrik) dan RM40,000 (bil air) setiap bulan, katanya. — Bernama

Advertisement