Anda di sini

Enam Mahkamah Anak Negeri sudah siap

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Pembinaan enam Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Tuaran, Lahad Datu, Kudat, Penampang, Keningau dan Sandakan sudahpun berjaya disiapkan.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata dua lagi MAN di Tambunan dan Ranau yang masih dalam proses pembinaan juga dijangka bakal siap pada tahun ini.

“Perkembangan ini akan diikuti pembinaan MAN Semporna dan Papar yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) pada tahun 2021,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini.

Menyentuh hal berasingan, beliau berkata Kerajaan Negeri turut berusaha membina masjid baharu, menaik taraf masjid dan surau untuk keselesaan umat Islam beribadah.

“Secara tidak langsung menyediakan fasiliti untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti pembangunan ummah, selain keutamaan pembinaan dan menaik taraf sekolah agama.

“Beberapa perancangan projek pembinaan Mahkamah Syariah di negeri ini juga sudahpun diluluskan dan dirancang di dalam RMK-11 dan RMK-12,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan satu jawatankuasa kutipan dan agihan zakat untuk memastikan kutipan zakat dapat diurus dengan lebih berkesan.

Beliau berkata langkah penyusunan semula ahli profesional yang kompeten akan dilakukan untuk memastikannya setaraf dengan pengurusan organisasi korporat.

“Kerajaan Negeri turut bercadang melantik satu pemegang amanah Jawatankuasa Masjid di seluruh Sabah sebagai ejen untuk mengagihkan dana zakat kepada ahli-ahli kariah.

“Langkah ini dijalankan menerusi Jawatankuasa Agihan yang akan memastikan agihan dana zakat dapat disampaikan kepada kumpulan asnaf dan mereka yang berhak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement