Anda di sini

Terowong sanitasi automatik dipasang di Pasar Besar

Advertisement
 Nordin dan Habibi semasa melawat Pasar Besar di sini.
LAWAT: Nordin dan Habibi semasa melawat Pasar Besar di sini.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil inisiatif membuka sebuah terowong sanitasi automatik bagi membendung penularan COVID-19 di kawasan Pasar Besar di sini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman berkata, pihaknya akan memasang terowong sanitasi itu di kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung dan peniaga termasuklah di pintu masuk utama.

“Selain di Pasar Besar di sini kita juga bercadang untuk memasang terowong sanitasi ini di Pasar Inanam dan Manggatal.

“Dalam usaha mencegah penularan COVID-19 ini DBKK juga akan memasang terowong sanitasi di pintu masuk jeti pengangkutan bot untuk penduduk yang keluar dan masuk dari Pulau Gaya,” katanya.

Nordin berkata usaha mengawal penularan COVID-19 itu juga akan diteruskan dengan pemantauan secara berterusan daripada anggota DBKK yang ditempatkan di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan aktiviti harian di kawasan tumpuan ini sentiasa terkawal.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk mengambil berat soal penjagaan kesihatan lain iaitu mematuhi penjarakkan sosial dan memakai topeng muka serta menggunakan sarung tangan sepanjang berada di kawasan yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan kerja di Pasar Besar di sini yang turut disertai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

  • oleh
  • Advertisement