Anda di sini

Rayuan pesalah PKP diterima, 7 dibebaskan, 7 didenda

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini menerima rayuan 14 pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung sabitan hukuman penjara tiga bulan dan membebaskan tujuh daripada mereka, manakala selebihnya lagi dikenakan denda. 

Hakim Azhahari Kamal Ramli membenarkan tujuh pesalah PKP dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 15 ke 16 hari. 

Ia berlainan dengan Hakim Christopher Chin yang menukarkan baki hukuman penjara kepada denda RM500 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Mereka yang dibenarkan bebas adalah Patrick Dadek, Devendran Sinivasan, Syed Mohd Norfirdaus Wan Ismail, Senin Yud, Mohammad Taufiq Jainal, Neilvin Bronzo Micheal Alden Kirap dan Rasyidi Jaafar. 

Sementara itu, Helbert Julie, Mohammad Azhar Masri, Shamee Ossin, Mohamad Yazid Abdul Jalil, Chai Yen Fung, Haron Sabi dan Zureesh Mohamad dikenakan denda.

Pesalah daripada pelbagai usia itu didakwa bergerak dari rumah mereka ke kawasan jangkitan dan gagal mengemukakan alasan munasabah untuk keluar rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada antara mereka ditangkap semasa pihak polis menjalankan tugas rondaan dan pemantauan Operasi Covid-19, manakala ada juga yang ditangkap ketika Operasi Bersepadu Covid-19.

Kesalahan dilakukan antara 26 hingga 28 Mac di pelbagai tempat seperti di Jalan Matang, Jalan Batu 10, Jalan Batu Kawa, RH Plaza dan Jalan Datuk Tawi Sli. 

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu disabitkan di bawah Peraturan 3 (1) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.  

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hasan dan Timbalan Pendakwa Raya Michelle Lim.
 

Advertisement