Anda di sini

Catatan perjalanan ke Gunung Bromo

Advertisement
 

PERJALANAN seribu batu bemula dengan satu langkah, demikian kata pepatah. Tapi saya tidak sempat menghitung sudah berapa jauh kaki melangkah sehingga tiba di kaki Gunung Bromo.

Sebenarnya dari Kota Surabaya ke Cemaralayang, mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan, melalui pemandangan yang menakjubkan, sawah padi, ladang tebu dan laluan berbukit-bukit. Kami  menginap di Cemeralayang kerana awal pagi keesokan harinya, sebelum ke  Gunung Bromo, kami akan terlebih dahulu singgah di Pananjakan, puncak setinggi 2,767 meter untuk melihat matahari terbit sambil memancarkan keindahan pagi.

 Penulis bersama bloggers dari Eropah.
BLOGGERS: Penulis bersama bloggers dari Eropah.

Sayangnya, pemandangan dilitupi kabus sehingga kami gagal menangkap sinar matahari yang terhalang oleh awan dan kabus tebal. Kami menunggu hari cerah sedikit, sempat menikmati kopi dan jagung bakar sebelum menaiki jeep untuk perjalanan turun menuju kaki gunung.

Dari Pananjakan itu, kami dapat melihat Gunung Semeru setinggi 3676 meter tersergam dengan megah.Selepas merakamkan gambar ke dalam kamera, kami bergegas turun dan kira-kira setengah jam kemudian, kami tiba di kaki Gunung Bromo.

Kawasan ini menjadi sangat terkenal selepas ia menjadi lokasi penggambaran filem Pasir Berbisik yang dilakonkan oleh Dian Sastrowardoyo dan Christine Hakim, sebuah karya yang memperlihatkan keunikan dan keindahan pemandangan Jawa Timur.

 Perlu mendaki 245 anak tangga untuk melihat kawah Bromo.
MENDAKI TANGGA: Perlu mendaki 245 anak tangga untuk melihat kawah Bromo.

Pemandu jeep memberhentikan kenderaannya di tempat yang dikhaskan dan kami harus  berjalan kaki kira 1.5 kilometer lagi untuk melihat kawah gunung berapi.

Berjalan kaki atau menunggang kuda? Sejak turun dari jeep, kami sudah dipelawa menaiki kuda dengan kadar bayaran Rp100K (RM29.25). Oleh kerana ingin merasai bagaimana rasanya menunggang kuda di sana, akhirnya kami memilih untuk menaiki kuda walaupun talinya masih dipegang oleh pemilik yang berjalan di hadapan.

 Penulis menunggang kuda dengan harga Rp100k.
MENUNGGANG KUDA: Penulis menunggang kuda dengan harga Rp100k.

Memang mengasyikkan menunggang kuda.Lagipun, tempat yang dituju agak  jauh, tinggi, kami terpaksa jalan mendaki dan jalannya pula agak berpasir. 

Sesampainya di kaki gunung, kami terpaksa menapak lagi untuk sampai ke tangga pendakian. Kami perlu mendaki anak-anak tangga,-245 anak tangga semuanya, untuk melihat kawah Gunung Berapi Bromo.

 Puncak Semeru dilihat dari Pananjakan.
PUNCAK SEMERU: Puncak Semeru dilihat dari Pananjakan.

Sesungguhnya bukan mudah untuk mendaki ke puncak.Perlu perjuangan melawan keletihan. Ramai pengunjung atau pelancong terpaksa duduk berehat sebentar kerana penat dan rasa semput yang tak dapat dikalahkan.

Selepas berjuang kira-kira 10 minit atau lebih sedikit, akhirnya kami tiba di puncak dan berpeluang melihat kawah Bromo. Kita perlu berhati-hati di sekitar kawah itu agak berbahaya. 

 Kawah Bromo.
BAHAYA: Kawah Bromo.

Gunung Bromo setinggi 2,382 meter dari paras laut adalah gunung berapi aktif di Jawa Timur. Gunung itu terletak di empat daerah iaitu Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang.

Bagi suku Tengger, penduduk yang mendiami dataran tinggi di sekitar kawasan pergunungan, gunung Bromo dianggap suci. Setiap tahun mereka mengadakan upacara Yadnya Kasada atau Kasodo, di pura di bawah kaki Gunung Bromo iaitu Pura Luhur  Poten Bromo. Menurut penduduk setempat, upacara itu diadakan menjelang tengah malam hingga dini hari setiap bulan purnama, tanggal 14 atau 15 di bulan kesepuluh (kasodo) dalam penanggalan Jawa.

Pura Luhur  Poten Bromo.  Dilihat dari jauh.
DARI JAUH:Pura Luhur  Poten Bromo.  Dilihat dari jauh.

Sesungguhnya banyak hal menarik dalam kunjungan ke Gunung Bromo. Bukan saja kerana keunikan dan keindahan lanskap bahkan juga masyarakat suku Tengger yang masih belum banyak dieksplorasi.

Tapi tidak banyak yang dapat dilakukan dalam kunjungan singkat itu. Selepas pulang ke hotel, kami ke kota Batu untuk melawat Jatim Park, Museum Angkut dan sebagainya.

 Keadaan jalan di kaki gunung  Bromo penuh sesak.
PENUH SESAK: Keadaan jalan di kaki gunung  Bromo penuh sesak.

Ada yang mahu cepat cepat pulang ke Surabaya untuk membeli belah di Plaza Jembatan Merah dan Pasar Turi.

Selepas tiga hari dua malam di Jawa Timur, kami menuju ke Bandara Antarabangsa Juanda Surabaya untuk terbang ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.

 Kereta Jeep yang menjadi kenderaan utama untuk ke gunung Bromo.
PENGANGKUTAN UTAMA: Kereta Jeep yang menjadi kenderaan utama untuk ke gunung Bromo.
Advertisement