Anda di sini

RM345,000 untuk Program #DapurBelia

Advertisement
PHOONG
PHOONG

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) meluluskan geran sebanyak RM345,000 di bawah Program Hak Upaya Persatuan untuk menjayakan Program #DapurBelia anjuran Majlis Belia Sabah (MBS).

Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe berkata, Program #DapurBelia bertujuan menggiatkan lagi aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan belia di Sabah.

Katanya, sejak digerakkan oleh MBS pada Mac lepas, #DapurBelia  berjaya mengedarkan lebih 1,000 pek bantuan dapur kepada golongan yang terjejas melalui kutipan dana awam dan korporat.

"Sebagai langkah membantu para usahawan belia Sabah bangkit selepas COVID-19, KBSS turut memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk menyediakan kursus intensif kepada usahawan belia yang terpilih.

"Program ini membantu memacu penglibatan usahawan belia dalam transaksi dan perdagangan atas talian agar mereka tidak lagi terkesan sekiranya terdapat lagi wabak yang datang pada masa hadapan.

"Langkah ini seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 yang lebih mencabar di samping norma baharu dalam dunia perniagaan pasca wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang bermula pada 15 hingga 28 April 2020 di seluruh negara pastinya memberi implikasi kebajikan kepada mereka yang terputus sumber pendapatan.

Sehubungan itu katanya, sebagai kementerian yang mengangkat agenda kesukarelawanan dalam kalangan belia Sabah, KBSS menyokong penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) belia dalam menyantuni keperluan golongan yang terjejas dalam tempoh PKP.

Menurutnya, nilai kemanusiaan yang ditonjolkan dalam gerakan sukarela perlu diberi sokongan sewajarnya.

"KBSS turut menjalin usahasama dengan MBS melalui kempen yang dikenali sebagai #BeliaSabahPrihatin atau #SabahYouthCares sebagai platform para belia menyatakan cabaran serta cadangan solusi kepada kerajaan negeri melalui KBSS.

"Cadangan boleh dihantar melalui laman sesawang MBS iaitu beliasabah.org.my/SabahYouthCares.

"Sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah yang sedia mendengar suara rakyat terutamanya golongan belia, saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya sukarelawan belia yang bertungkus-lumus membantu mereka yang terjejas," katanya.

  • oleh
  • Advertisement