Anda di sini

Kebenaran buka kedai perkakasan semasa PKP dapat reaksi berbeza

Advertisement
HO WEI SEONG
HO WEI SEONG

TAWAU: Kedai perkakasan diberikan kebenaran dibuka dua kali seminggu semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan membolehkan masyarakat memanfaatkan aktiviti produktiviti bersama keluarga di rumah.

Keputusan itu mengundang reaksi berbeza di kalangan masyarakat di daerah ini yang memandang dari sudut keperluan dan kepentingan premis itu dibuka.

Pengguna, Ho Wei Seong, 42, beranggapan keputusan membuka premis berkenaan tidak perlu di saat daerah Tawau yang sudah berdepan keadaan kritikal COVID-19 dan digariskan sebagai kawasan merah.

"Tiada keperluan untuk membuka premis berkenaan kerana ianya bukan suatu benda yang penting untuk kita mahu menanggung risiko penyebaran wabak COVID-19 ini," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, semua masyarakat digalakkan untuk terus berada di rumah sekiranya tiada keperluan mendesak supaya rantaian wabak ini dapat diputuskan.

"Kita seharusnya memikirkan untuk mengatasi masalah ini dengan cepat, jangan disebabkan perkara tidak penting, kita terpaksa menanggung keadaan PKP dengan lebih lama lagi.

"Saya berharap pihak kerajaan tidak membuka mana-mana premis yang tidak penting buat masa ini supaya masyarakat tidak mengambil kesempatan untuk keluar rumah pergi ke premis berkenaan," katanya.

RAHMAT
RAHMAT

Berbeza pula dengan Rahmat Kaparang, 38, yang bersetuju premis berkenaan dibuka secara berkala setiap Selasa dan Khamis yang dilihat memang terdapat keperluannya.

Beliau berkata premis berkenaan yang melibatkan barang-barang pertukangan, elektrik dan automotif sangat diperlukan kerana sudah kebiasaan masyarakat membuat penambaikan rumah dan servis kenderaan.

"Namun, masyarakat tidak boleh mengambil kesempatan sekiranya premis itu dibuka, jangan beri alasan keluar rumah untuk membeli barang yang tidak betul-betul perlu.

"Orang awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan semasa dan mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya keluar membeli barang-barang di kedai berkenaan," katanya.

Rahmat berkata semua kedai perkakasan yang diberikan kebenaran juga harus mengambil tindakan keselamatan yang sama dan perlu mendapatkan khidmat nasihat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak berlaku penularan wabak COVID-19 semasa beroperasi.

"Cadangan supaya pihak kerajaan tidak membenarkan premis berkenaan dibuka di kawasan bandar untuk mengelakkan berlaku tumpuan orang ramai di kawasan-kawasan yang berdekatan seperti pasar raya dan pasar," katanya.

  • oleh
  • Advertisement