Anda di sini

ARMADA Beaufort puji usaha wakil rakyat bantu rakyat dalam kesukaran

Advertisement
MOHD SHAHRIL
MOHD SHAHRIL

BEAUFORT : Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beaufort Mohd Shahril Osin memuji usaha beberapa wakil rakyat dalam membantu seluruh lapisan masyarakat tidak kira latar belakang di saat mereka dalam kesusahan.

Beliau menyatakan demikian hasil daripada respon rakyat terutama di kawasan Beaufort dan sekitarnya yang rata-rata amat berterima kasih kepada pemimpin atas bantuan-bantuan yang disalurkan ketika ditimpa bencana termasuklah yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Ekoran wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan bagi membendung penyebaran virus itu telah menjejaskan beberapa sektor penting sehingga memberi impak terhadap pendapatan rakyat terutama golongan B40.

Golongan B40 di Beaufort dan sekitarnya yang terjejas akibat COVID-19 tidak diabaikan malah terus mendapat perhatian daripada wakil rakyat masing-masing seperti bantuan keperluan asas bagi meringankan kesukaran yang dihadapi mereka.

"Walaupun dengan PKP, Ahli Parlimen Beaufort serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias sentiasa berkomunikasi dengan rakyat tentang perkara-perkara berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat mereka terbela," katanya ketika menghubungi Utusan Borneo.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahril mewakili kepimpinan ARMADA Beaufort dan rakyat turut merakamkan penghargaan kepada petugas-petugas di barisan hadapan atas pengorbanan mereka dalam memerangi wabak COVID-19.

"Tidak lupa juga kepada pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan penderma serta individu yang tidak putus-putus menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di negara ini yang terjejas dengan COVID-19, " katanya.

Justeru beliau mengajak rakyat supaya terus memberikan sokongan dan keyakinan terhadap kerajaan bagi memulihkan semula dan membangunkan negara ke arah yang lebih baik demi manfaat rakyat sendiri.

"Marilah kita bersatu berdiri teguh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh barisan kepimpinan negara dalam memerangi virus sekaligus memutuskan rantaian COVID-19.

"Semoga seluruh rakyat di negara ini termasuk di negeri Sabah mematuhi arahan PKP bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan segera agar negara mampu meneruskan sebarang agenda pembangunan termasuk pentadbiran seperti sedia kala," katanya.

  • oleh
  • Advertisement