Anda di sini

PKP: Kenderaan awam jangan melalui laluan khas

Advertisement
 Liew (kiri) mendengar penerangan daripada Mohd Azhar.
BINCANG: Liew (kiri) mendengar penerangan daripada Mohd Azhar.

SANDAKAN: Pengguna kenderaan awam tidak dibenarkan melalui laluan khas yang disediakan untuk petugas barisan hadapan di semua sekatan jalan raya dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt berkata, laluan khas itu hanya boleh digunakan oleh petugas Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi-agensi bertugas termasuk pihak media.

“Laluan khas itu disediakan bagi memastikan petugas barisan hadapan tidak tersekat di sekatan jalan raya berkenaan kerana mereka ini melaksanakan tugas.

“Saya menasihati kenderaan awam jangan melalui laluan khas yang disediakan untuk kelancaran petugas barisan hadapan agar tidak dikenakan tindakan oleh pihak polis, kenderaan awam tidak perlu memasuki laluan terbabit,” katanya.  

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Dalam pada itu, Liew juga meminta orang awam agar berhenti menyalahkan anggota polis dan pasukan keselamatan ekoran berlaku kesesakan lalu lintas ketika sekatan jalan raya.

“Ini kerana tugas pasukan keselamatan di sekatan jalan raya itu adalah bagi memastikan individu berkenaan tidak keluar rumah tanpa alasan munasabah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Orang ramai seharusnya mematuhi setiap arahan PKP yang dikuat kuasakan bagi membataskan pergerakan keluar rumah individu dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini,” katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement