Anda di sini

Pelanjutan PKP disokong demi kepentingan keselamatan rakyat

Advertisement
MOHD FAZLI
MOHD FAZLI

SANDAKAN: Keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-3 bermula 15 April hingga 28 April ini, amat disokong berdasarkan kepentingan keselamatan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beluran Mohd Fazli Zikri berkata, PKP perlu diteruskan untuk memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan.

“Sekiranya wabak ini masih tersebar dalam kalangan masyarakat, maka PKP tidak boleh dihentikan kerana ada kemungkinan terbentuknya gelombang wabak COVID-19 seterusnya dan ia mungkin berskala lebih besar,” katanya.

Beliau berkata rakyat perlu akur dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk kebaikan semua dalam menangani wabak ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perlu mengambil kira tentang sektor pendidikan rendah dan menengah, yang mana para pelajar telah terkesan kerana tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran biasa.

“Diharap kerajaan harus mengambil kira tentang situasi pelajar-pelajar di luar bandar yang mempunyai kekangan khususnya kemudahan internet,” katanya.

Bagi sektor keusahawanan pula, Fazli berkata kerajaan perlu melancarkan inisiatif khusus untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sama ada di bandar mahupun luar bandar dan inisiatif itu perlulah membolehkan perniagaan mereka beroperasi semula walaupun dalam tempoh PKP.

“Ini membolehkan mereka tidak perlu bergantung harap sepenuhnya kepada bantuan kerajaan,” katanya.

Fazli berharap agar rakyat bersabar dan mengikut nasihat kerajaan supaya duduk di rumah demi keselamatan diri serta keluarga dari dijangkiti wabak COVID-19.
 
“Sekiranya orang ramai masih tidak mengambil serius nasihat ini, kemungkinan PKP ini dilanjutkan adalah sangat tinggi dan pastinya menyusahkan ramai pihak. Kesannya, wabak ini tidak dapat dibendung,” tegasnya.

Beliau meminta rakyat agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa supaya wabak ini dapat dihentikan dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.


 

  • oleh
  • Advertisement