Anda di sini

Tiga lelaki ditangkap cuba seludup petrol ke negara jiran

Advertisement
 Kesemua barang rampasan yang disyaki mahu diseludup ke negara jiran.
RAMPASAN: Kesemua barang rampasan yang disyaki mahu diseludup ke negara jiran.

SEMPORNA: Tiga lelaki ditangkap Pasukan Polis Marin (PPM) bersama perahu masing-masing selepas didapati membawa 1,160 liter minyak petrol secara haram di kawasan laut Tanjung Manimpa, di sini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kesemua suspek juga gagal menunjukkan dokumen membawa bekalan minyak petrol daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Hasil pemantauan dan risikan yang diterima, bekalan minyak petrol terbabit disyaki mahu diseludup ke negara jiran," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, kesemua suspek berumur 26 hingga 40 tahun dan minyak petrol terbabit dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk siasatan dan tindakan selanjutnya manakala nilai rampasan dianggarkan bernilai RM40,269.25.

"Kes berkenaan dirujuk kepada pihak KPDNHEP Semporna dan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pajeri berkata, walaupun pihaknya fokus dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan Sabah, namun tidak mengabaikan peranan dalam memerangi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan PTI.

  • oleh
  • Advertisement