Anda di sini

Sediakan bantuan bekalan makanan kering tambahan

Advertisement
ZIKRI AJAD
ZIKRI AJAD

SANDAKAN: Kerajaan perlu memberi bantuan bekalan makanan kering tambahan untuk diagihkan kepada rakyat terutamanya penduduk kampung di kawasan luar bandar yang sukar mendapatkan bekalan makan ekoran perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 April hingga 28 April depan.

Seorang penduduk Sandakan, Zikri Ajad berkata penduduk luar bandar amat memerlukan bantuan bekalan makanan kering tambahan dalam menghadapi fasa ke-3 PKP.

 “Penduduk kampung di luar bandar ini menghadapi kesukaran bagi mendapatkan bekalan makanan buat masa ini kerana perlu mematuhi arahan PKP,” katanya.

Beliau berkata menyediakan bekalan makanan kering tambahan ini perlu segera dan diagihkan kepada penduduk kampung selepas PKP fasa ke-2 yang berakhir 14 April ini.

Beliau turut meminta kerajaan agar memastikan pengagihan itu lebih adil kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Saya mencadangkan untuk lebih adil pengagihan bantuan diberikan kepada semua rakyat, biar pasukan keselamatan yang kendalikan. Beri bantuan kepada penduduk yang memerlukan sahaja bagi menggelakkan isu dipolitikkan oleh pihak tertentu,” tegasnya.

Mengenai perlanjutan PKP,  Zikri amat menyokong perlanjutan tempoh PKP dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Beliau turut meminta kerajaan agar memberi kelonggaran kepada mereka yang bercuti ke lain daerah di Sabah sebelum PKP dilaksana 18 Mac lepas.

“Mereka kini terhalang untuk balik ke rumah kediaman mereka sehingga hari ini. Jadi dengan kelonggaran ini, mereka dapat balik ke rumah mereka terutamanya mereka yang tiada sebarang simptom wabak COVID-19,” katanya.

 Ekoran pelanjutan ini juga, beliau berkata sekolah, tadika dan taska wajar ditutup lebih lama selepas itu dan mengarahkan pihak agensi berkaitan membuat nyah cemar demi keselamatan anak-anak.

Dalam pada itu, Zikri berkata perkhidmatan awam seperti kedai tayar dan barangan ganti kereta perlu dibuka lebih banyak mengikut keperluan rakyat dan tempoh pembukaan kedai perlu dijadualkan.

“Ini akan memudahkan rakyat untuk membaiki kenderaan mereka sepanjang tempoh perlaksanaan perlanjutan PKP tanpa menghadapi sebarang masalah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement