Anda di sini

Reaksi berbeza, benarkan operasi kedai gunting rambut dan dobi ketika PKP

Advertisement
ALIASBI
ALIASBI

KOTA KINABALU: Usaha kerajaan untuk membenarkan kedai gunting rambut dan dobi beroperasi diterima baik namun terdapat juga pendapat yang menjelaskan bahawa ianya tidak relevan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Aliasbi Awang Japilan, 29, berkata memang wajar kerajaan membenarkan operasi perniagaan dobi kerana ianya sedikit sebanyak mampu membantu golongan pelajar dan bujang yang tinggal sendirian.

"Pembukaan kedai gunting dan salon pula tidak relevan kerana ianya bukan perkhidmatan yang sangat diperlukan ketika ini.

"Berbanding dengan kedai perkakasan seperti perkakasan rumah, kenderaan dan elektrik, ianya lebih relevan kerana ia merupakan keperluan yang dapat membantu orang ramai membaik pulih kerosakan yang dihadapi mereka sepanjang tempoh PKP," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang menyarankan agar pembukaan perkhidmatan salon dapat ditangguhkan dahulu bagi mengelak wujudnya kluster baharu yang secara tidak langsung akan menambah bilangan pesakit positif COVID-19 ini dengan cepat dan tidak terkawal.

"Saya berharap pihak kerajaan mengambil serius pandangan yang disuarakan oleh beliau kerana pendekatan dan pengorbanan yang telah mereka lakukan sehingga kini telah memberikan tanda-tanda positif kejayaan kita dalam menangani penyebaran COVID-19," katanya.

YUSRIANSAH
YUSRIANSAH

Yusriansah Hasan, 25, turut menjelaskan bahawa kedai gunting rambut serta dobi bukanlah satu perkhidmatan keperluan kepada semua masyarakat.

Katanya, ianya kerana melihatkan keadaan semasa yang mempunyai kadar risiko yang tinggi terhadap kedua tempat ini.

"Mungkin sesetengah kawasan sudah mencapai zon merah dan umumnya tiada sebarang perkhidmatan berasaskan sosial dibuka.

"Ini kerana risiko untuk masyarakat terdedah adalah lebh tinggi. Seperti kita difahamkan, kerajaan sudah mengeluarkan beberapa perintah premis yang dibenarkan untuk beroperasi.

"Tetapi perkhidmatan kedai gunting rambut dan dobi bukanlah satu keperluan mendesak untuk masyarakat ketika ini," katanya.

Menurutnya, China sebelum ini membenarkan kedai gunting rambut dibuka dengan syarat menggunakan peralatan kesihatan.

Katanya, persoalannya adalah kedai berkenaan mampu menampung kos peralatan kesihatan terbabit yang dianggarkan ratusan ringgit sekali guna.

"Walaupun sudah ditetapkan langkah pencegahan yang perlu diamalkan, tetapi ianya masih tidak menjadi tahap keselamatan dan dapat mengurangkan penularan COVID-19 dalam premis-premis terbabit," katanya.


 


 

  • oleh
  • Advertisement