Anda di sini

2,000 keluarga di Api-Api sudah menerima bantuan makan sejak awal PKP

Advertisement
 Christina (dua kanan) bersama wakil-wakil daripada DUN Api-Api bersedia menyampaikan bantuan.
BERSEDIA: Christina (dua kanan) bersama wakil-wakil daripada DUN Api-Api bersedia menyampaikan bantuan.

 

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 keluarga di kawasan Api-Api sudah menerima bantuan makanan dalam fasa kedua penyaluran sumbangan berkenaan menjadikan keseluruhannya yang menerima seramai 2,000 keluarga sejak ia dilaksanakan bulan lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini memasuki minggu ke-4 dan kerajaan sudah menyalurkan bantuan keperluan harian berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api.

"Kita memberikan keutamaan kepada mereka yang sakit, orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal, penjaja dan mereka yang bergantung dengan gaji harian serta individu kurang bernasib baik yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum itu, Christina yang juga ADUN Api-Api sudah menyerahkan bantuan makanan berkenaan kepada wakil-wakil kawasan terbabit di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Api-Api.

Pengedaran bantuan itu khusus kepada mereka yang terjejas akibat pelaksanaan PKP yang dipanjangkan sehingga 28 April depan.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut mengambil kesempatan untuk mengadakan lawatan ke rumah-rumah masyarakat miskin di sekitar Api-Api.

Penyerahan bantuan berkenaan turut disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Api-Api Grace Lee serta sukarelawan yang lain.


 

  • oleh
  • Advertisement