Anda di sini

UMS terus diberi kepercayaan

Advertisement
 Dr Vijay (empat dari kiri) mengetuai ujian saringan COVID-19 terhadap sampel- sampel yang diperoleh dari KKM.
UJIAN: Dr Vijay (empat dari kiri) mengetuai ujian saringan COVID-19 terhadap sampel- sampel yang diperoleh dari KKM.


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus diberi kepercayaan
menggalas peranan dalam menangani krisis Pandemik COVID-19 apabila kemudahan dan
kepakaran yang terdapat di UMS dimanfaatkan sepenuhnya bagi menggalas tanggungjawab
membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan COVID-19
terhadap sampel-sampel yang diperoleh dari KKM.

Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Dr. Zarina Amin berkata, ujian
saringan COVID-19 yang dijalankan di Makmal Biokeselamatan Tahap-3, IPB UMS itu dilihat
mampu membantu menyelesaikan kes-kes kelewatan pengesanan sampel, sekali gus dapat
memberikan keputusan-keputusan yang tepat untuk susulan pantas pihak KKM.

“UMS amat berbangga kerana kepakaran para penyelidik UMS dan keupayaan fasiliti makmal
bioteknologi UMS membolehkan universiti ini secara langsung dilibatsama dalam mengatasi
krisis COVID-19 ini.

“Selaku universiti awam yang saban tahun menghasilkan graduan dalam pelbagai bidang,
penglibatan dalam menangani krisis pandemik COVID-19 ini dilihat sebagai satu
pengiktirafan kepada penyelidikan dan inovasi khususnya dalam bidang bioteknologi,” kata
Dr Zarina yang merupakan salah seorang penyelidik yang terlibat dalam ujian yang
dikendalikan.

Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Vijay Kumar dari IPB yang mengetuai penyelidik dalam ujian
tersebut menjelaskan, ujian pengesanan COVID-19 itu sepatutnya dijadualkan pada
pertengahan April ini.

“Namun memandangkan wujudnya keperluan segera untuk mempercepatkan ujian saringan
ke atas sampel yang tertangguh, ujian tersebut telah diawalkan iaitu pada 9 April.

“Walaubagaimana pun, saya dan rakan-rakan penyelidik sudah cukup bersedia untuk
melaksanakan tanggungjawab ini pada bila-bila masa sahaja yang diperlukan, dan kami
amat bersemangat melakukan ujian saringan COVID-19 yang dianggap sebagai satu
tanggungjawab besar untuk negara dan manusia sejagat,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak KKM khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
dan Makmal Kesihatan Awam Negeri Sabah di atas peluang yang diberikan kepada UMS
untuk turut sama memastikan keselamatan masyarakat kembali terjamin dan terus
terpelihara.

Selain Dr. Vijay, empat lagi penyelidik UMS turut terlibat sama dalam menjalankan ujian
tersebut, iaitu Prof. Madya Dr Kenneth Rodrigues, Dr Cahyo Budiman, dan Dr Christopher
Voo Lok Yung dari IPB, serta Prof. Madya Dr Lee Ping Ching dari Fakulti Sains dan Sumber
Alam UMS.

Mereka turut dibantu oleh Dr Noor Hydayaty Md Yusuf, Dr Nur Athirah Yusof, Salmi Afidah
Shabudin, Mony Mian dan Vidarita Maikin bagi persediaan awal ujian dan data analisis pasca
ujian.

Ujian ke atas semua sampel yang diterima dimulakan dengan pengekstrakan RNA diikuti
dengan penilaian kehadiran gen dari virus COVID-19 menggunakan teknik tindak balas
transkripsi berbalik kuantitatif rantai polimerase (reverse transcription quantitative
polymerase chain reaction).

Advertisement