Anda di sini

Rakyat Indonesia yang terkandas diminta bertenang, patuhi arahan PKP

Advertisement
DJATI
DJATI

KOTA KINABALU: Semua rakyat Indonesia yang datang melancong atau melawat tetapi cop pasport mereka melebihi had masa dan terkandas di negara ini diminta bertenang.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau Sulistidjo Djati Ismodjo berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah mengeluarkan pekeliling memberi kebenaran kepada mereka untuk terus berada di negara ini buat sementara waktu.

“Mengikut pekeliling JIM itu, rakyat Indonesia yang memegang pasport tamat tempoh masih boleh tinggal di negara ini sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Mereka diberikan tempoh 14 hari selepas PKP tamat untuk meninggalkan negara ini dan akan diberikan pas khas,” katanya, ketika dihubungi Utusan Borneo di sini.

Djati juga mengakui KRI Tawau ada menerima hampir 10 aduan berhubung rakyat mereka yang memegang pasport sudah hampir tamat tempoh dan terkandas di Sabah.

Menurutnya, golongan terbabit dinasihatkan bersabar dan tinggal sementara bersama keluarga atau kenalan serta mematuhi PKP yang dikuatkuasakan Kerajaan Malaysia.

“Ada di antara mereka yang tidak sempat balik semasa pembukaan sementara dua hari pada 19 dan 20 Mac lepas untuk berangkat ke Nunukan, kerana had masa yang terhad.

“Pada masa itu, terdapat kira-kira 300 rakyat Indonesia yang memanfaatkan pulang menerusi 7 feri penumpang dalam tempoh kedua-dua hari terbabit,” katanya.

Beliau berkata KRI Tawau ada menyediakan khidmat nasihat dan maklumat kepada rakyat Indonesia yang terkandas di negeri ini khususnya di sekitar Pantai Timur Sabah.

Warga Indonesia yang terkandas disaran menyalurkan maklumat mereka melalui talian 0198228800 dan 01116230800 atau 089 772052 (pejabat) atau facebook KRI Tawau.

  • oleh
  • Advertisement