Anda di sini

Keputusan benarkan operasi ladang, kilang sawit melegakan

Advertisement
DJATI
DJATI

KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri memberikan kebenaran pembukaan operasi ladang dan kilang sawit di enam daerah di Pantai Timur Sabah dialu-alukan.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau Sulistidjo Djati Ismodjo berkata perkembangan itu melegakan khususnya dalam kalangan pekerja yang terjejas.

“Kita menyokong langkah yang dibuat kerana ladang dan kilang sawit juga adalah perkhidmatan keperluan (menghasilkan produk keperluan seperti minyak masak).

“Lagipun, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri sudah menilai perkembangan di ladang dan kilang sawit dalam tempoh dua minggu penutupan sementara operasi,” katanya.

Djati berkata walaupun kebenaran itu diberikan, namun langkah berjaga-jaga termasuk memastikan setiap pekerja yang turun bekerja bebas COVID-19 perlu dititikberatkan.

Menurutnya, KRI Tawau gembira dengan keputusan itu dan berharap pihak majikan juga mematuhi saranan yang diputuskan di peringkat dasar oleh Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita (KRI Tawau) turut prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan sawit.

“Sebab itu juga kita memperkenalkan inisiatif seperti yang disarankan Kerajaan Republik Indonesia (Jakarta) menghulur bantuan makanan kepada rakyat kita yang terjejas di ini.

“Kita berterima kasih dengan pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri kerana memberi kelonggaran dan berharap TKI juga ikut mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

ALIJUS
ALIJUS

Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) Alijus Sipil turut menyambut baik langkah Kerajaan Negeri membenarkan operasi ladang dan kilang dibuka semula.

Lebih-lebih lagi sektor perladangan di negeri ini tertumpu di keenam-enam daerah terlibat seperti Tawau, Kalabakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Kinabatangan.

“Bagaimanapun, kita berharap setiap ladang menjalankan usaha pengesanan awal pekerja mereka sekiranya ada menunjukkan simptom dijangkiti COVID-19,” katanya.

Alijus menyarankan setiap majikan memastikan tidak berlaku situasi bersesak-sesak atau berkumpul di satu-satu tempat pada masa yang sama untuk mengelak risiko jangkitan.

Beliau percaya suasana persekitaran di ladang dan kilang yang terhad dan boleh dikawal juga membolehkan risiko penyebaran jangkitan COVID-19 dapat dikurang atau dielakkan.

“Kita berharap majikan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan suhu badan pekerja setiap kali sebelum memulakan pekerjaan pada waktu pagi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Pada masa sama, memastikan kaedah atau mekanisme kecemasan sekiranya ada pekerja yang dikesan dijangkiti COVID-19 supaya dapat dirujuk awal dengan pihak hospital.

“Kita percaya sektor kelapa sawit sebagai penyumbang utama kekuatan ekonomi Sabah yang dengan ruang komunikasi dan pergaulan terhad berbanding pelancongan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memuji inisiatif Kerajaan Negeri berkaitan hal terbabit dan berharap semua ladang atau kilang sawit sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Terutamanya, ladang-ladang atau kilang sawit yang terletak jauh di pedalaman, untuk memastikan penyaluran dan penerimaan maklumat dapat sentiasa dikemaskini.

“Kalau boleh setiap syarikat mengambil inisiatif dengan menyediakan tempat khas sekiranya perlu untuk petugas KKM datang menjalankan pemeriksaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement