Anda di sini

Apa usaha dan tindakan PRS dalam perjuangan MA63? - Peter Anthony

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM), Datuk Peter Anthony (gambar) menafikan kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang menyatakan kerajaan Sabah hanya mengamalkan sikap tunggu dan lihat berkenaan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebaliknya katanya, kerajaan negeri Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, telah pun berusaha sejak kerajaan negeri baharu dibentuk dan memerintah negeri Sabah untuk memperjuangkan MA63.

Katanya, Kerajaan negeri Sabah juga telahpun berusaha memperjuangkan MA63 termasuk di Parlimen namun usaha Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan berkenaan MA63 tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen pada tahun lalu.

Katanya, satu Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 juga telah ditubuhkan yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan secara terperinci tuntutan MA63 dalam mencari kata putus dan persetujuan antara kerajaan Pusat, Sarawak dan Sabah.

Katanya, perkara tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri Sabah dalam memperjuangkan MA63 dan menunjukkan kerajaan negeri Sabah begitu serius dan berusaha dalam memperjuangkan MA63.

“Datuk Seri Shafie sentiasa konsisten dengan pendiriannya untuk memperjuangkan hak-hak kami seperti yang diperuntukan di bawah MA63 termasuk pengenaan cukai jualan minyak dan gas, serta beliau turut konsisten membantu seluruh rakyat negeri Sabah tidak mengira ideologi politik, anutan agama dan tidak mengira kaum.

“Datuk Seri Shafie telah berdiri teguh di sepanjang beberapa mesyuarat MA63 di Putrajaya. Hakikat bahawa Sabah tidak membawa kesnya ke Mahkamah tidak semestinya bermakna ia ingin memihak kepada Putrajaya atau kekal dalam buku Putrajaya yang baik. 

“Kita tidak sepatutnya dilihat seolah-olah terdapat perbalahan di dalam negara yang mampu mengancam kestabilan politik di negara ini.

“Masing mungkin terlupa dari kenyataannya kerana dia tidak pernahpun menjadi Ahli Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 yang akan membolehkannya melihat bagaimana kedua-dua Sabah dan Sarawak telah berjuang dengan begitu gigih dan kukuh untuk mempertahankan hak-hak kami supaya Kabinet akan turut bersetuju,” katanya ketika dihubungi, di sini kelmarin.

Sebaliknya katanya, apa pula usaha dan tindakan PRS dalam memperjuangkan MA63, yang hanya tahu seperti ‘Anjing menyalak bukit’.

Tambahan pula katanya, PRS bekerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Barisan Nasional (BN) yang telah bersongkongkol untuk tidak menyokong atau berkecuali dalam Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan yang dibentang di Parlimen tahun lalu sehingga ianya tidak mencapai dua pertiga.

Katanya walaupun, kerajaan negeri Sabah memperjuangkan MA63 tetapi tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PAS dan UMNO.

Ini kerana katanya, pendirian orang Sabah berlainan dengan pendirian PRS, dimana rakyat Sabah tidak mahu bekerjasama dengan PAS dan pemimpin UMNO, BN yang sudah terbukti tidak ikhlas dalam memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak khususnya berkenaan MA63.

“Sementara, PRS boleh menerima dan bekerjasama dengan mereka.

“Pendirian orang Sabah berprinsip, dan amat serius dalam menyelesaikan MA63 bersama-sama Ketua Menteri Sabah,” jelasnya.

Tambahnya, Datuk Seri Shafie juga akan terus membantu menjaga kebajikan seluruh rakyat negeri Sabah tidak mengira ideologi politik, anutan agama dan tidak mengira kaum.

Katanya, ini dibuktikan dengan peruntukan bantuan gereja yang diluluskan oleh beliau di beberapa daerah seperti gereja di Tambunan dengan memberi kelulusan peruntukan sejumlah RM 1 juta.

“Manakala, dari segi kebudayaan, Ketua Menteri Sabah telah memasukkan perayaan Pesta Kalimaran yang diraikan oleh kaum Murut dalam kalender kerajaan negeri Sabah, dimana belum pernah ada Ketua Menteri Sabah sebelum ini berbuat sedemikian,” jelasnya.

Advertisement